‘Letak nama Boboi FC pun tak apa’

KUALA LUMPUR: Ketika segelintir penyokong b3rang dengan nama baharu yang diberikan kepada pasukan masing-masing selepas penswastaan, namun lain pula pandangan daripada Datuk Jamal Nasir Ismail.

Bekas pemain kebangsaan itu menyifatkan nama pasukan bukan perkara paling penting dalam mencipta kejayaan buat sesebuah pasukan bola sepak.

Beliau berkata, pengurusan profesional kelab bola sepak (FC) menjadi perkara paling utama dalam memastikan dana pasukan mencukupi dan tidak lagi berlaku masalah lama seperti isu tunggakan gaji.

“Jangan fikir nama (pasukan) itu Hanelang ke, Boboi FC ke, yang penting sekarang ini kita sudah mula bergerak ke satu langkah yang mana semua pasukan mesti diswastakan.

“Jadi bila swasta, banyak rintangan perlu dilalui dan kita kena bagi sokongan. Jangan kecam, ini nama (pasukan) pun sudah kutuk, bagaimana bola sepak kita nak terus maju.

“Peminat tahu membantah sahaja, mereka tak tahu apa rasionalnya. Kadang-kadang apa yang dibuat oleh pengurusan bersebab, bukan suka-suka.

“Nama tak penting, macam Pahang nak letak Tok Gajah FC ke apa, tak penting kerana apa yang penting sekali adalah pengurusan yang profesional,” katanya kepada BH Sukan semalam.

Semalam, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dik3cam hebat oleh peminat mereka selepas menukar nama pasukan itu kepada Darulaman FC.

Pahang juga tidak ketinggalan menjadi antara ‘mainan’ di media sosial selepas pasukan itu dilaporkan akan menggunakan nama Sri Pahang FC pada musim depan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa menganggap penggunaan nama yang baharu seperti Darulaman FC tidak akan melenyapkan identiti dan nilai komersial pasukan Kedah.

“Saya sebenarnya setuju mereka (KFA) buat penjenamaan baharu. Kalau ambil Kedah, macam masih terikat dengan model yang tak berjaya.

“Dulu persatuan bola sepak, sekarang ini kelab bola sepak, kelab adalah entiti swasta dan penyokong kena keluar dari kefahaman mereka kerana falsafah dalam perniagaan berbeza dengan falsafah persatuan yang mendapat suntikan dana dari kerajaan.

“Penyokong tetap akan sokong pasukan jika mereka boleh menjanjikan kejayaan dan membawa imej kelab itu. Kalau setiap tahun ada piala, saya rasa penyokong akan tetap menyokong,” katanya.

Antara nama digunakan pasukan Liga M musim depan

Pasukan Liga Super

Johor Darul Ta’zim (Johor)

Bos Gaurus FC (Perak)

Darulaman FC (Kedah)

UiTM FC

Terengganu FC (Terengganu)

Sri Pahang FC (Pahang)

Selangor FC (Selangor)

Melaka United FC (Melaka)

Sabah FC (Sabah)

Felda United FC

PDRM FC

PJ City

Liga Perdana

Penang FC (Pulau Pinang)

Kuala Lumpur FC (Kuala Lumpur)

Terengganu FC II (Terengganu)

Johor Darul Ta’zim II (Johor)

Kelantan FC (Kelantan)

Kuching FC

Negeri Sembilan FC (Negeri Sembilan)

Selangor FC II (Selangor)

Sarawak United FC

Bos Gaurus FC II (Perak)