Leicester City Lepaskan Pemain “Terkaya Dunia”

Bekas juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester City telah melepaskan beberapa pemain termasuk pemain muda yang dilabel sebagai “pemain terkaya” di dunia, Faiq Jefri Bolkiah.

Faiq menyertai Leicester pada 2016 lalu setelah beraksi bersama pasukan akademi Chelsea selama satu musim.

Meskipun sudah bersama kelab itu selama empat tahun, namun pemain berusia 22 tahun ini gagal untuk membuat sebarang penampilan bersama pasukan utama dimana beliau banyak menghabiskan masa bersama skuad akademi.

Faiq mula mendapat perhatian pada 2018 lalu apabila ada dakwaan yang mengatakan beliau merupakan pemain terkaya di dunia, melebihi dua pemain bintang iaitu Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Dakwaan ini wujud kerana Faiq merupakan anak saudara kepada Sulta Brunei, Hassanal Bolkiah. Namun, pihak Faiq menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan pemain itu tidak sekaya yang disangkakan.

Meskipun Faiq Jefri Bolkiah tidak mempunyai karier yang cemerlang di peringkat kelab, namun beliau sentiasa menjadi pemain utama bagi skuad kebangsaan Brunei Darussalam.

Setakat ini, Faiq telah beraksi bersama skuad B-19, B-21, B-23 dan pasukan senior Brunei.