Lee Tuck tidak sabar di naturalisasikan

Bekas arkitek Terengganu FC (TFC), Lee Tuck akui dia kini menanti penuh sabar proses naturalisasinya tahun depan bersama pasukan Sri Pahang FC dalam misi untuk menyarung jersi keramat pasukan Harimau Malaya.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-England mendedahkan dia bagaikan tidak ‘senang duduk’ apabila melihat tiga pemain ‘import’ iaitu Mohamadou Sumareh (Gambia), Liridon Krasniqi (Kosovo) dan Guilherme de Paula (Brazil) menyarung jersi pasukan kebangsaan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 /Piala Asia 2023 di Dubai, pada pertengahan tahun ini.

Pemain berusia 32 tahun kelahiran Halifax, England itu sudah lima musim beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula tahun 2017 berkata, dia melepaskan peluang untuk beraksi bersama Harimau Malaya terutama selepas usaha kerasnya sebelum ini mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Jika diberi peluang sudah tentu saya tidak mahu melepaskan peluang untuk menyarung jersi pasukan Harimau Malaya selepas tempoh lima tahun yang disyaratkan akan berakhir tahun ini.

“Kelibat tiga pemain naturalisasi yang beraksi bersama pasukan Malaysia baru-baru ini bagaikan membangkitkan lagi semangat saya untuk menyarung jersi keramat pasukan Malaysia.

“Saya rasa ini peluang terbaik buat saya jika menjadi pemain naturalisasi. Lagipun semua orang mahukan yang terbaik buat pasukan negara termasuk penyokong setia,” katanya ketika dihubungi.

Ditanya mengenai prestasi pasukan negara baru-baru ini terutamanya dengan kehadiran tiga pemain naturalisasi, Tuck akui banyak pendapat yang diberikan oleh pelbagai pihak, namun katanya semuanya membawa kepada kebaikan untuk meningkatkan pasukan kebangsaan.

“Kita tahu pelbagai pendapat dan kritikan yang positif dan negatif, semuanya mahukan yang terbaik buat pasukan Malaysia, ianya juga kritikan membina yang perlu diambil serius untuk memajukan bola sepak negara, usaha itu juga sudah dimainkan badan induk bola sepak negara, saya lihat sudah ada peningkatan dan pastinya penyokong juga gembira dengan keadaan itu.

“Tapi kini saya boleh memerhati sahaja kerana belum lagi menjadi pemain naturalisasi selain mengharapkan pasukan Malaysia mampu pergi lebih jauh sehingga ke peringkat dunia,” katanya.

Pada aksi Piala Malaysia baru-baru ini, Tuck beraksi cemerlang bersama TFC walaupun secara pinjaman daripada pasukan Sri Pahang.

Namun dia akui terkilan kerana gagal membawa bekas pasukannya itu mara ke pentas final Piala Malaysia seperti musim 2018 selepas tumpas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di separuh akhir dengan agregat 4-1.

Berdasarkan rekod, pemain pinjaman daripada pasukan Sri Pahang itu memulakan kariernya dalam Liga M bersama pasukan Negeri Sembilan pada 2017 sebelum berhijrah ke Terengganu bermula 2018 sehingga hujung tahun lalu sebelum kembali menyarung jersi TFC apabila jendela kedua perpindahan pemain Mei lalu daripada pasukan Sri Pahang FC.

sumber :arena metro

Pemain itu juga dikatakan mempunyai pertalian darah dengan neneknya yang berasal dari Sabah, namun kini dokumen sokongan yang diperlukan untuk proses menjadi pemain warisan difahamkan belum lagi diserahkan kepada pihak pengurusan.