Lee Tuck Kini Bergelar Pemain

Tahun 2020 merupakan tahun ke-10 pemain tengah dan kapten Terengganu, Lee Tuck menjadi pemain profesional setelah menyertai Nakhon Pathom United di Thai League Divisyen 1 (kini Thai League 2).

Sebelum itu, Lee Tuck merupakan pemain semi-pro yang bermain di England untuk Halifax Town FC sebelum bermain untuk Bradford Park Avenue sekitar tahun 2007 hingga 2009.

Tertarik dengan ajakan seorang rakan untuk mencuba nasib di Thailand, Lee Tuck mengambil keputusan untuk meminjam duit daripada bapanya dan ‘terbang’ ke Thailand untuk mencuba nasib.

Berada di sana untuk dua minggu, pemain yang kini berusia 31 tahun itu akhirnya ditawarkan kontrak profesional bersama Nakhon Pathom United dan sejak itu beliau tidak lagi memandang ke belakang.

Sudah lapan pasukan dan kelab yang disertai sebelum tiba ke Terengganu yang menurutnya dipetik daripada portal Halifax Courier, beliau gembira untuk berada di sana untuk beberapa tahun lagi.

“Saya tidak tahu sama ada saya akan kembali pulang atau kekal di luar negara. Tetapi saya dan isteri sangat gembira berada di sini [Terengganu],” memetik kenyataannya di portal tersebut.

“Perbezaan yang besar, mereka sangat sukakan bola sepak. Mereka suka menonton English Premier League (EPL), tetapi apabila menyokong bola sepak tempatan, mereka jadi ‘gila’,” jelasnya.

Lee Tuck merujuk kepada atsmosfera bola sepak di Malaysia yang baginya sangat mengujakan apabila dapat beraksi di hadapan ribuan penyokong terutamanya apabila bermain di perlawanan akhir.

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tengku Mahkota Johor (TMJ) juga pernah memujinya sebagai antara pemain asing terbaik dalam sesi No Holds Barred yang bersiaran sekitar November tahun lalu.

Memasang impian untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya, Lee Tuck yang memiliki darah Malaysia menerusi neneknya masih gagal menemui dokumen yang dapat membuktikan dirinya.

Sempena 10 tahun Lee Tuck bergelar pemain profesional, beberapa rakan-rakannya dilihat telah memuat naik ucapan di laman Instagram dengan mengucapkan selamat maju jaya buat dirinya.

sumber: Semuanya BOLA 

Disertakan #LT10yearsapro, antara pemain-pemain yang dilihat telah meninggalkan ucapan buatnya adalah Issey Nakajima-Farran, Bruno Suzuki, Matt Davies, Nick Swirad termasuklah isterinya, Georgia.

Kami di Semuanya BOLA turut ingin mengucapkan, selamat ulang tahun ke-10 buat Lee Tuck. Semoga terus memberikan inspirasi buat Terengganu FC dan mungkin Malaysia satu masa nanti. Salah seorang pemain yang penuh teladan yang boleh diikuti oleh semua terutamanya pemain muda di Malaysia.