Lang Merah Sokong Harimau Selatan (JDT) Mengaum

Sebelum ini akaun media sosial JDT dan KFA saling melakukan banter serta perang media sosial.

Namun ia bukannya alasan untuk melupakan semangat kesukanan dan juga semangat kebangsaan, selaku pasukan yang sama-sama dari kelompok Liga Malaysia.

Semalam Lang Merah menerusi Facebook KFA telah memberikan kata kata sokongan kepada wakil Malaysia di pentas Liga Juara-juara AFC (ACL).

JDT sekali lagi tampil sebagai wakil tunggal Malaysia dalam temasya AFC musim ini. JDT akan tampil dalam aksi pertama berhadapan dengan Vissel Kobe.

Kedah beraksi di play off, beberapa minggu lalu. Namun agak malang apabila Kedah tersingkir. Kedah menganggap pentas ACL merupakan menjadi idaman semua pasukan bola sepak di Asia.

KFA menerusi kenyataan medianya berkata: “Liga Juara-Juara AFC 2020 telah pun bermula 10 Februari 2020.”

“Kejohanan berprestij ini telah memberi pengalaman yang cukup berharga kepada pasukan Kedah kerana turut berpeluang beraksi di pusingan kedua kelayakan dan Play-Off baru-baru ini.”

“Sesungguhnya pengalaman di pentas tertinggi bolasepak Asia adalah idaman setiap pasukan terutamanya layak ke peringkat kumpulan kejohanan tersebut.”

Menurut KFA, pasukan JDT telah memberikan inspirasi kepada pasukan lain di Liga Malaysia untuk beraksi di pentas berprestij itu di masa akan datang.

“Satu-satunya wakil kelab dari Malaysia, JDT FC adalah pasukan yang akan beraksi di peringkat kumpulan esok bertemu Vissel Kobe di Misaki Park Stadium, Kobe.”

“Ia sudah pasti memberi inspirasi untuk Kedah dan pasukan-pasukan di bawah naungan MFL yang lain untuk menyasarkan beraksi di pentas yang sama di masa hadapan.”

“Membawa panji JDT FC dan Malaysia, luaskan kuasamu, selamat berjuang JDT FC!”

Kami juga mahu mengucapkan selamat maju jaya kepada JDT.