Lang Merah dapat tonik tambahan

ALOR SETAR: Pasukan Kedah mendapat tonik tambahan menjelang pusingan playoff Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Seoul FC Selasa ini, apabila pemain ke-12 mereka berlepas ke Korea Selatan, malam ini.

Seramai 11 penyokong Hijau Kuning yang terdiri daripada ahli Kelab Legasi Kedah, Ultras Kedah dan Arena Kuning itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Seoul, Korea Selatan pada jam 11 malam ini.

Jurucakap penyokong, Muhammad Hazriq Fahimy Abdullah, berkata kesempatan dapat pergi ke Korea Selatan merealisasikan impian mereka untuk menyaksikan Kedah beraksi di pentas Asia.

“Seperti yang kita maklum ini peringkat tertinggi di rantau Asia dan menjadi idaman setiap pasukan beraksi di pentas ini.

“Kami berbangga kerana Kedah dapat beraksi sehingga ke peringkat ini dengan keupayaan sendiri dan bertemu pula salah satu pasukan g3rgasi rantau Asia iaitu pasukan Seoul FC,” katanya ketika dihubungi, petang tadi.

Hazriq berkata, beraksi di Stadium Piala Dunia Seoul pastinya bakal memberikan auranya yang tersendiri baik kepada pasukan mahupun penyokong Kedah nanti.

“Realistik kita tahu misi ini sukar, namun tiada yg mustahil, apapun harapan dan doa kami moga Kedah mampu memberikan saingan yang baik dan berjuanglah dengan sejiwa murni,” katanya.

Kedah layak ke playoff ACL selepas menewaskan pasukan Hong Kong, Tai Po FC 5-1 di Stadium Darul Aman, Selasa lalu.