Laluan Sukar Buat Kedah Pusingan Kedua Piala FA

Undian pusingan kedua Shopee Piala FA 2020 yang berlangsung sebentar tadi menyaksikan cabaran sengit bakal menanti juara bertahan, Kedah selepas diundi bertemu Pahang di Stadium Darul Aman.

Kedah muncul juara edisi musim lalu selepas berjaya menundukkan Perak 1-0 hasil jaringan tunggal pemain muda, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam pada masa tambahan sekaligus menghadiahkan kejuaraan kelima dalam saingan Piala FA buat skuad ‘Lang Merah’.

Undian yang diadakan di Damansara itu juga turut menyaksikan pengalaman hebat bakal ditimba pendatang baharu Liga M3 iaitu KL Rovers apabila skuad bimbingan Nazrul Erwan Makmur itu akan berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim bagi berdepan gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dalam pada itu, naib juara edisi lalu pula, Perak akan menanti kunjungan satu lagi pasukan baharu saingan Liga M3, Kuala Terengganu (KT) Rovers.

Satu lagi perkara menarik untuk diperkatakan pada undian kali ini adalah kembalinya Amri Yahyah yang kini bersama Sarawak United FC untuk menghalang kemaraan Selangor ke pusingan ketiga apabila kedua-dua akan bertemu sesama sendiri.

Sebanyak 12 pasukan saingan Liga Super, lapan daripada Liga Premier bersama-sama sembilan pasukan Liga M3 serta baki tiga pasukan Liga M4 terlibat pada undian kali ini.

sumber: semuanyabola

Perlawanan pusingan kedua ini dijadualkan bakal berlangsung pada 17 dan 18 Mac nanti dan berikut adalah senarai penuh undian pusingan kedua Shopee Piala FA 2020 sebentar tadi: