Lahir Di Sarawak Bukan Tiket Automatik Sarung Jersi Harimau Malaya

Baru-baru ini, anak kepada bekas pemain import Sarawak, Billy Bone iaitu Samuel Bone dilihat berminat untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Melalui pengkongsian di laman Instagram Story Samuel, pemain berusia 21 tahun itu bertanyakan kepada peminat tempatan sama ada mereka bersetuju jika beliau menyarung jersi Malaysia atas kapasiti tempat kelahirannya di Sarawak.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi melalui kenyataan dalam Arena Metro menegaskan tempat kelahiran bukanlah tiket automatik yang membolehkan pemain itu menyarung jersi skuad kebangsaan.

Mereka perlu buktikan mempunyai dokumen status warganegara yang sah sebagai rakyat Malaysia.

“Sebelum ini pernah ada seorang jurulatih asing yang melatih pasukan dalam Liga Malaysia mendakwa anaknya lahir di sini dan katanya boleh main untuk Malaysia.

“Tapi bila kita selidik, rupanya tak boleh kerana anaknya didaftarkan di kedutaan negara asal bapanya. Memang dia dapat surat beranak di hospital sini, tapi kalau disebabkan tak daftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) maka dia bukan rakyat kita.

“Jadi dalam isu ini kalau nak main untuk Malaysia tak boleh atas tiket pemain warisan sebab dia dan ibu bapanya bukan orang Malaysia. Kalau nak main juga kena tinggal dan main di sini hingga lima tahun.

“Begitu juga dengan Samuel, itupun kalau dia boleh buktikan status kerakyatannya. Jika betul rakyat kita, tak ada masalah untuk dia sertai pasukan tetapi perlu mengharungi penilaian untuk melihat kualitinya terlebih dulu,” katanya.

Samuel merupakan pemain pertahanan tengah namun beliau juga boleh diletakkan sebagai pemain tengah. Mempunyai ketinggian 1.83 meter, Samuel merupakan graduan daripada kelab England, Charlton FC.

Setelah meninggalkan Charlton pada 2017 lalu, pemain yang mesra dipanggil Sam ini menyertai kelab divisyen pertama Ireland, Shamrock Rovers dimana beliau beraksi bersama kelab itu selama satu setengah musim.

Bagaimanapun, beliau perlu menyakinkan para pegawai FAM untuk menunjukkan minatnya menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Saya akan minta pegawai kita di FAM untuk berhubung dulu dengan pemain ini bagi kita menentukan kesahihan dia ataupun dari segi kelayakannya untuk mewakili Malaysia sama ada boleh ke atau tidak.

“Selepas itu baru kita akan melihat kepada peringkat seterusnya iaitu menilai kemampuan dan kualitinya. Selalu saya sebut, pemain warisan atau naturalisasi yang kita ambil mesti lebih baik daripada pemain tempatan.

“Kalau biasa-biasa saja, buat apa kita nak ambil lebih baik kita beri kepada pemain tempatan saja. Pakar bahagian teknikal akan melihat keupayaannya nanti,” katanya.