KV Kortrijk Sedia Lepaskan Luqman

KUALA LUMPUR: Sekalipun bakal melebarkan sayap ke Belgium, perkembangan terbaharu mengenai kedudukan peny3rang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin harus melegakan kem skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara.

Sekalipun hanya berbaki tiga bulan lagi sebelum Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berlangsung, pengendalinya, Brad Maloney mengesahkan bekas pemain Selangor II itu akan tetap bersama pasukan terbabit selepas ini.

“Saya sokong keputusan Luqman (ke Belgium) dan saya doakan yang terbaik untuknya. Saya berpendapat ini satu peluang yang bagus untuk dia mengembangkan lagi potensinya.

“Saya difahamkan kelabnya (KV Kortrijk) akan melepaskannya untuk kejohanan ini dan persiapan terakhir kita. Bagus sekiranya dia kembali menyertai kita nanti supaya dapat mengharungi latihan sebaik mungkin.

“Sudah tentu saya mencari akan pemain yang dapat menggantikan kekosongannya dan beberapa lagi posisi dalam skuad ini,” katanya.

Sebagai rekod, Luqman antara pemain yang tidak dipanggil bagi kem latihan kali ini termasuklah Firdaus Irman Mohd Fadhil, dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; Azrin Afiq Rusmini, Harith Haiqal Adam Afkar, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Ahmad Zikri Mohd Khalili.

Terdahulu, 34 pemain hadir melaporkan diri ke kem latihan pusat skuad B-19 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam sebagai persiapan awal menghadapi kejohanan yang akan berlangsung di Uzbekistan, Oktober ini.

Seorang lagi pemain iaitu Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal hanya akan menyusul kemudian untuk menyertai pasukan sejurus berakhir tempoh kuarantin selepas tiba di tanah air dari Amerika Syarikat.

sumber: BH

Sebaik melapor diri, 17 pemain terus melakukan ujian calitan manakala selebihnya sebelum ini sudah melakukan ujian terbabit bersama pasukan masing-masing.

Mereka kemudian mendengar taklimat mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi sepanjang kem berkenaan.