Kojie masih berharap sinar beraksi di Liga M

Kuantan: Sedang rakan lain kini sudah mula mengikuti sesi latihan sebagai persiapan menghadapi musim baharu tidak lama lagi namun episod sebaliknya berlaku pada bekas penyerang kebangsaan, Mohd Fauzi Roslan.

Menurut pemain kelahiran Pekan, Pahang itu, hingga kini dia masih tercari-cari pasukan baharu yang sudi menggunakan khidmatnya selepas kontrak bersama Sarawak United tidak disambung.

“Hati saya masih kuat ingin terus beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dalam tempoh beberapa musim lagi sekiranya diperlukan oleh mana-mana pasukan negeri termasuk kelab.

“Saya masih lagi mampu memberi persembahan terbaik sekiranya diberi peluang, pengalaman yang ada membuka ruang untuk mencabar pemain lain,” katanya yang mula dikenali selepas mewakili skuad Pahang.

Tambahnya, dia memberi jaminan dapat mempamerkan persembahan diharapkan sekiranya diberi kepercayaan oleh jurulatih, faktor usia bukan penghalang untuk dia menyerah kalah sebelum berjuang.

Katanya, hatinya masih terlalu kuat untuk beraksi dalam Liga M bersama rakan lain yang tetap terus diberi kepercayaan oleh jurulatih, mereka boleh berjaya dengan pasukan negeri dan kelab kenapa tidak dirinya.

Mohd Fauzi atau lebih mesra sebagai Kojie berkata, untuk kelangsungan hidup bersama keluarga dia kini mengusahakan perniagaan stimbot dan sup tulang masak kicap di Pekan, sambutan terhadap kedainya begitu menggalakkan.

“Walaupun tempoh pendaftaran pemain untuk saingan Liga M hampir kepenghujungnya namun saya tetap berdoa supaya impian meneruskan kerjaya bola sepak profesional menjadi kenyataan musim ini.

“Saya ingin bermain dua hingga tiga musim lagi sekiranya ada pasukan yang berminat, saya berharap impian berkenaan menjadi kenyataan.

“Untuk mengekalkan kecergasan setiap hari saya mengadakan latihan secara sendirian, ada ketikanya bermain dengan belia kampung,” katanya yang sebelum ini pernah bersama pasukan Kelantan.