Klopp minta peminat Liverpool bersedia

LONDON: Jurgen Klopp memberitahu peminat Liverpool untuk bersedia dengan pengumuman berkenaan Thiago Alcantara selepas pemain tengah Sepanyol itu mengakui akan meninggalkan juara Eropah Bayern Munich.

Thiago dijangka akan menjalani pemeriksaan kesihatan hari ini sebelum melengkapkan perpindahan ke Liverpool pada harga 20 juta pound (RM106.7 juta) dengan tambahan 5 juta pound (RM26.7 juta).

Pemain 29 tahun itu dipercayai bersetuju menandatangani kontrak empat tahun di Anfield.

“Ia belum rasmi selagi belum diumumkan dan saya bukan orang untuk mengumumkannya, jadi saya tidak tahu apa yang boleh saya katakan sekarang.

“Ia tampak positif. Saya tidak boleh lakukan apa-apa sekarang. Untuk semua penyokong Liverpool, anda boleh ikuti laman rasmi LFC, itu akan membantu,” kata Klopp.

Thiago menyertai Bayern selepas ditandatangani Pep Guardiola pada tahun 2013 tetapi dengan kontraknya berbaki setahun, dia melengah-lengahkan lanjutan kontrak.

“Saya membuat keputusan paling sukar dalam karier sukan saya. Saya akan menutup babak indah bersama kelab ini di mana saya berkembang sebagai pemain selama tujuh tahun.

“Sebagai pemain bola sepak saya mahu cabaran baharu untuk mengembangkan lagi diri saya,” kata Thiago di media sosial. – AFP