Kita tengoklah nanti

KETUA Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak masih belum menentukan hala tujunya pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan di sebalik spekulasi sejak beberapa minggu lalu apabila namanya dikaitkan sebagai pengendali baharu Perak.

Begitupun, Aidil Sharin mengakui beliau gembira dengan komitmen yang ditunjukkan pihak pengurusan pasukan Lang Merah walaupun dipalit dengan masalah pembayaran gaji tertunggak sebelum ini.

“Pengurusan sedang melakukan yang terbaik… situasi sedang berubah secara perlahan. Saya yakin mereka akan lakukan lebih baik lagi pada masa depan. Jika semuanya berjalan dengan baik, kenapa tidak (terus kekal bersama Kedah).

“Kedah sentiasa di hati saya. Saya suka dengan kakitangan, barisan kejurulatihan dan pemainnya, mereka sangat hebat. Insya-ALLAH, kita tengoklah nanti,” katanya pada sidang media selepas kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam semalam.

Pengendali kelahiran Singapura berusia 43 tahun itu menambah, beliau kini hanya mahu memberi tumpuan pada aksi terakhir CIMB Liga Super menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh Ahad ini.

“Ya sudah tentu Perak sebuah pasukan yang mempunyai pemain berkualiti dan tidak mudah menyerah kalah seperti dipamerkan mereka ketika bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk mengikat Pahang di Kuantan Sabtu lalu.

“Bagaimanapun, Insya-ALLAH saya optimis Kedah mampu menyaingi Perak. Apa pun, buat masa ini kami akan kembali membuat persediaan lebih rapi dalam beberapa hari yang ada ini menjelang pertemuan menentang Perak,” jelasnya.

Mengulas kemenangan berharga ke atas Melaka United, Aidil Sharin berkata, beliau cukup berbangga dengan komitmen anak-anak buahnya biarpun mereka sekali lagi terpaksa beraksi di luar Stadium Darul Aman, Alor Setar.

“Saya gembira melihat kesungguhan dan komitmen pemain Kedah terutamanya bahagian pertahanan dan tengah yang penuh berdisiplin. Pemain muda yang pertama kali diturunkan juga berjaya menggalas tanggungjawab dengan baik dalam mengekang asakan lawan.

“Saya sedar tekanan yang dihadapi pemain-pemain cukup tinggi, apatah lagi apabila Melaka United mula meningkatkan asakan selepas kami mendahului mereka,” katanya. – Bernama
sumber : SINAR