Khidmat Dollah Salleh sudah tidak diperlukan

Sri Pahang FC bakal dibimbing ketua jurulatih baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurut sumber, setakat ini, perbincangan sedang dilakukan untuk membawa jurulatih baharu membimbing skuad Tok Gajah bagi menggantikan Dollah Salleh.

“Boleh dikatakan bahawa Sri Pahang akan melantik jurulatih baharu untuk meletakkan kelab kembali pada prestasi terbaik.

“Namun, setakat ini tiada kata putus mengenai jurulatih itu yang diharap mampu mengembalikan Sri Pahang pada kedudukan lebih baik berbanding musim ini,” kata sumber itu.

Musim ini, Sri Pahang menamatkan kedudukan ke-10 dalam saingan Liga Super manakala Piala Malaysia sekadar beraksi di peringkat kumpulan.

Di awal musim, kelab itu mengambil jurulatih import, Thomas Dooley sebelum diganti Dollah. Namun, dengan keputusan yang dicapai musim ini, Sri Pahang dikatakan mahu melantik jurulatih baharu.

sumber : BH

Difahamkan, bukan sahaja jurulatih baharu, malah beberapa pemain baharu tempatan dan import akan menyarung jersi Tok Gajah musim depan. Beberapa pemain yang beraksi musim ini dikatakan tidak disambung kontrak sebagai pembaharuan.