Khidmat bintang muda negara dari Belgium ditagih

Kuala Lumpur: Bintang muda negara, Luqman Hakim Shamsuddin boleh menjadi duri dalam daging kepada benteng lawan apabila beraksi pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Mac depan.

Ini berikutan pemain berusia 19 tahun itu terdedah kepada perlawanan kompetitif bersama kelabnya, KV Kortrijk di liga utama Belgium berbanding majoriti rakan sepasukan yang beraksi di Liga Malaysia (Liga M).

Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, sudah tiba masanya khidmat Luqman digunakan dalam menguatkan barisan Harimau Malaya memandangkan pemain berkenaan lebih bersedia seterusnya prestasi berada pada tahap optimum.

“Ketika ini, kita tidak boleh memanggil Luqman untuk menjalani latihan pada 16 Januari nanti memandangkan dia masih lagi mempunyai baki perlawanan bersama kelabnya.

“Oleh itu, masa sesuai adalah Mac nanti dan sudah tentu kehadirannya menambah lagi kekuatan di bahagian serangan Harimau Malaya.

“Saya mahu dia lebih bersedia dan mengelak daripada kecederaan kerana kemungkinan akan diturunkan pada perlawanan Mac nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, perlawanan antarabangsa pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Asia China 2023 beberapa kali ditunda berikutan pandemik Covid-19 sebelum tarikh baharu pada Mac depan.

Untuk rekod, Malaysia yang kini menduduki tempat kedua Kumpulan G dengan berbaki tiga perlawanan akan bertandang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum menyambut Vietnam dan mengakhiri aksi peringkat kumpulan di Thailand.

Skuad Harimau Malaya akan mengadakan siri latihan di negara ini sebelum berkampung di Asia Barat pada Mac untuk mengharungi beberapa siri perlawanan persahabatan seterusnya menghadapi perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata, pemain naturalisasi kedua negara, Liridon Krasniqi akan menyertai kem latihan Harimau Malaya pada 16 Januari ini.

“Liridon bersama beberapa muka baharu akan menyertai kali pertama kem latihan Harimau Malaya dan senarai penuh pemain akan diumumkan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Sumber : HM