Khalid Jamlus Mendedahkan

Bekas peny3rang kebangsaan, Muhamad Khalid Jamlus mendedahkan bahawa Steve Darby adalah jurulatih yang cukup ‘sempoi’ dari kaca mata beliau sepanjang bergelar sebagai pemain bola sepak profesional.

Khalid juga turut menganggap pengendali kelahiran Liverpool itu adalah sebagai seorang bapa buatnya ketika di atas padang. Kedua-dua mereka pernah bekerjasama dari tahun 2006 hingga 2008.

Menurut Khalid, Steve Darby mampu mewujudkan persekitaran kekeluargaan yang cukup utuh dalam kalangan pasukan meskipun pada musim terakhir kedua-dua mereka bersama Perak, skuad Yob dilanda ‘awan gelap’ berikutan masalah tunggakan gaji.

Dalam pada itu, antara pengorbanan terbesar Steve Darby ketika bersama Perak adalah dengan mengeluarkan wang simpanan beliau sendiri dalam usahanya membantu para pemain yang kesempitan wang berhubung masalah tersebut.

”Jurulatih yang paling ‘sempoi giler’ adalah Steve Darby [sambil ketawa],” Khalid menjawab soalan yang ditanya peminatnya dalam siaran ‘live’ di laman Facebook peribadi beliau.

”Bagi saya, dia merupakan bapa saya ketika di dalam padang, sebab itulah kami boleh bermain dengan satu hati dan bersungguh-sungguh walaupun kami tidak dibayar dalam tiga ke empat bulan gaji.”

”Dia cuba usahakan mana yang dia termampu. Kalau anda semua nak tahu, dia telah keluarkan duit sendiri sebab ketika itu Perak tak bayar gaji kami untuk beberapa bulan.”

”Dia gunakan inisiatif sendiri keluarkan duit dan bayar gaji kami. Bukanlah bayar penuh pun, berkerat-berkerat (sebahagian) tetapi adalah duit untuk budak-budak [para pemain] bertahan,” jelas Khalid Jamlus lagi.

Itulah sifat kepimpinan yang cukup tinggi dijelmakan oleh Steve Darby dengan tidak membiarkan anak buahnya terkapai-kapai menghadapi masalah gaji itu.

Pengorbanan tersebut pasti akan sentiasa diingati para pemain Perak pada ketika itu tatkala ramai penyokong mereka dikhabarkan tidak menggemari taktikal 3-5-2 yang diterapkan oleh beliau.