Legenda bola sepak negara, Khalid Ali Dah Bersuara

PEMINAT bola sepak di negara ini seharusnya tidak mempertikaikan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menaturalisasikan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Liridon Krasniqi untuk membolehkan pemain berusia 28 tahun itu menyarung jersi Harimau Malaya.

Legenda bola sepak negara, Khalid Ali berkata, tindakan FAM itu harus dipuji apatah lagi ia bakal memberikan nilai tambah kepada skuad kebangsaan bersaing di peringkat yang lebih tinggi berbanding Asia Tenggara.

Malah, beliau juga masih percaya kemampuan Liridon walaupun ramai menyifatkan pemain kelahiran Kosovo itu kurang berkualiti dan tidak layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

“Banyak negara lain sudah ambil pemain naturalisasi untuk bermain bersama pasukan kebangsaan. Jadi apa masalahnya? Semua orang sepatunya positif dengan langkah ini.

“Jangan cepat buruk sangka tanpa melihat dahulu apa yang boleh disumbangkan Liridon kepada pasukan kebangsaan nanti. Apabila beliau telah bermain dan tidak mencapai apa yang diharapkan, barulah kita boleh menegur,” katanya kepada Sinar Harian.