Khalid Ali bersuara

KELAB Bolasepak Selangor United (SUFC) sepatutnya dikekalkan dan tidak dipindah milik kepada Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS).

Bekas pemain kebangsaan dan Selangor, Khalid Ali berkata, ini kerana SUFC memiliki ramai pemain muda berbakat yang boleh diserapkan kepada pasukan belia mahupun senior Selangor.

Beliau juga berpendapat SUFC juga boleh menjadi ‘feeder club’ kepada Selangor.

“Sayang apabila ia (SUFC) diambil alih FAS dan ditukar nama kepada Sarawak United,” katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu pada 13 Disember lalu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meluluskan permohonan FAS untuk pertukaran status pemilikan SUFC menjadi Kelab Bolasepak Sarawak United.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas meneliti dokumen dilampirkan dan mendapati FAS membuat pertukaran status pemilikan kelab mengikuti prosedur yang sah.

Difahamkan Ahli Lembaga Pengarah SUFC dalam satu mesyuarat pada 22 November lalu sebulat suara mahu menyerahkan pengurusan kelab berkenaan kepada FAS.

Sementara itu, Khalid turut bimbang kemungkinan peluang tipis untuk pemain SUFC mendapat minit permainan bersama Sarawak United kelak.

“Kemungkinan keutamaan diberi kepada pemain dari Sarawak dan pemain SUFC terpaksa bersa!ng hebat untuk mendapat tempat dalam pasukan,” katanya.

Sarawak United bakal mengisi slot SUFC dengan menggunakan nama pasukan sebagai Sarawak United dan akan beraksi di Liga Perdana musim 2020.

Pertukaran status itu juga bakal menyaksikan kelab Liga Perdana berpangkalan di Shah Alam itu akan beroperasi sepenuhnya di Kuching, Sarawak.

Sumber : Hmetro