Khabar Kurang Menyenangkan Datang Dari Skuad B-19 Tahun Negara

Khabar kurang menyenangkan datang dari skuad B-19 tahun negara apabila Wan Kuzri berkemungkinan besar tidak akan menyertai sesi latihan fasa kedua.

Menurut ketua jurulatih, Brad Maloney, ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan jika mahu menyenaraikan Kuzri dalam sesi latihan fasa kedua.

Pasukan negara perlu mengadakan perbincangan dengan Akademi Bola Sepak St Louis di Amerika Syarikat dan juga prosedur membabitkan pandemik Covid-19.

“Saya perlu bincangkan perkara ini kerana dia mungkin terpaksa kembali kepada kelab. Kami harus mempertimbangkan beberapa perkara seperti keperluan kuarantin akibat pandemik dan banyak faktor yang harus dipertimbangkan.

“Kami juga perlu bekerjasama bersama dia dan kelabnya untuk mendapatkan penyelesaian terbaik jika dia boleh menjadi sebahagian daripada skuad untuk latihan pusat yang akan datang,” katanya menurut laporan Utusan.

Adik kepada Wan Kuzain itu mula menyertai latihan bersama pasukan negara bermula Khamis lalu selepas tamat tempoh kuarantin 14 hari, makanala latihan pusat fasa satu akan berakhir Ahad ini.

Tambah Brad, pasukannya tidak akan mengadakan sebarang perlawanan persahabatan sepanjang kem latihan fasa satu berlangsung.