Khabar Angin Berkaitan Kemungkinan Berlakunya Pertukaran

KRISIS politik di Kedah ketika ini menimbulkan sedikit kebimbangan dalam kalangan pemain dan pegawai pasukan terutama mengenai tunggakan gaji pasukan itu.

Menurut sumber terdekat pasukan, khabar angin berkaitan kemungkinan berlakunya pertukaran kerajaan negeri dalam masa terdekat ini semakin bertiup kencang dan rata-rata pemain mahu tunggakan gaji diselesaikan dengan segera oleh pasukan.

Sebelum ini dilaporkan pemain skuad Helang Merah mengeluh apabila terpaksa menyambut kedatangan Ramadan dengan serba kekurangan selepas tidak menerima gaji dari bulan Mac dan April.

“Sekarang di Kedah kecoh mengenai kemungkinan kerajaan akan bertukar apabila difahamkan parti PAS mungkin akan membentuk kerajaan negeri yang baharu.”

Justeru, jika ia berlaku sudah tentu kedudukan KFA (Persatuan Bolasepak Kedah) juga terjejas kerana persatuan diterajui oleh ahli politik terdiri daripada Menteri Besar.

“Jadi apa nasib pemain lebih-lebih mengenai gaji yang masih sangkut. Harap ia tak berlaku (pertukaran) dalam masa ini, tapi jika jadi juga, harap tunggakan sebelum ini diselesaikan penuh.

“Ini kerana pasukan yang dibentuk musim ini adalah pemilihan pengurusan sekarang. Kita tak tahu apa pula perancangan pengurusan baharu sekiranya kerajaan bertukar nanti,” katanya.

Berdasarkan statut KFA, jawatan Presiden KFA biasanya akan diisi Menteri Besar Kedah.

Minggu lalu, PAS Kedah mengumumkan keyakinan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

sumber: HM

Keyakinan itu bersandarkan semangat kerjasama Muafakat Nasional antara PAS dengan UMNO yang kini memiliki 17 kerusi Dun, selain kepincangan serta permasalahan yang berlaku dalam kalangan Adun PH ketika ini.

Malah, kelmarin berlangsung perjumpaan tertutup antara pemimpin PAS Kedah bersama kepemimpinan Pusat parti dipercayai bagi membincangkan peralihan kuasa kerajaan negeri dan calon Menteri Besar baharu.

Untuk rekod, KFA pernah berada di bawah kepemimpinan PAS dari 2008-2013 dan sejarah hitam tercipta pada 2012 apabila skuad Helang Merah jatuh ke Liga Perdana selepas menghuni tangga terbawah pada musim itu.Arti