Ketua jurulatih Kelantan FC?

Kota Bharu: Bekas pemain pertahanan AS Roma, Christian Panucci menjadi bualan hangat apabil disebut bakal mengendalikan TRW Kelantan FC, musim ini.

Desas desus itu muncul selepas kelibat, Panucci, 47, muncul di layar tangkap yang dikongsikan pemilik pasukan itu, Norizam Tukiman atau Zamsaham, empat hari lalu.

Panucci yang pernah beraksi bersama kelab gergasi, Real Madrid dikhabarkan sudahpun berada di negara ini dan sedang menjalani kuarantin di ibu negara.

Panucci turut memuatnaik videonya sedang menjalani kuarantin dalam salah satu laman sosial peminat bola sepak Kelantan.

Tinjauan ke laman sosial Norizam di page Zamsaham turut mendapati beliau menjawab tepat kepada soalan peminat berkenaan kehadiran Panucci.

Norizam juga memberikan bayangan jurulatih yang akan dipilih berbangsa Itali dan pernah melatih sebuah pasukan kebangsaan yang dilihati menepati ciri-ciri Panucci kerana beliau yang berasal dari Itali pernah menguruskan pasukan kebangsaan Albania.

Malah laman rasmi TRW Kelantan FC turut memuat naik kata-kata pemain bola Itali, Paolo Maldini dan Fancesco Totti yang juga bekas rakan sepasukan Panucci seakan-akan memberi bayangan kebenaran khabar angin itu.

Bagaimanapun, status sebenar siapa bakal menduduki kerusi panas ketua jurulatih pasukan merah putih itu akan diumumkan pada majlis memperkenalkan pemain dan barisan pengurusan jurulatih yang dijangka dibuat akhir bulan ini atau awal Februari sebelum sepak mula Liga Malaysia pada 26 Februari.