Keputusan Tepat

SEREMBAN: Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9Futbol.com) menyokong keputusan kerajaan yang tidak membenarkan Liga Malaysia (Liga M) musim ini disambung.

Presidennya, Ahmad Zaini Baharun berkata, keputusan itu sudah tentunya mengambil kira keselamatan rakyat terutama peminat dan pemain bola sepak.

Katanya, walaupun larangan meneruskan Liga M itu akan memberi kesan kepada banyak pihak terutama persatuan bola sepak negeri selain rakan kongsi, namun ia sebagai langkah terbaik dalam memastikan rantaian wabak COVID-19 dapat diputuskan.

“Keputusan dibuat kerajaan itu memang disokong kerana ketika ini pun kita masih tidak dapat menjangkakan berapa lama atau bilakah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini akan berakhir.

“Selepas saingan Liga M terhenti sejak 16 Mac lalu, tiada lagi sebarang aktiviti atau perlawanan bola sepak diadakan dan situasi itu juga menjejaskan momentum pemain, walaupun mereka meneruskan latihan fizikal di kediaman masing-masing.

“Kedudukan perlawanan liga yang masih di peringkat awal juga pasti menjadi masalah untuk dihabiskan andai liga disambung kerana perlu ambil masa lama lagi untuk dihabiskan,” katanya di sini, hari ini.

Ahmad Zaini berkata, melihat kepada situasi berkenaan sememangnya suatu jalan yang sukar terutama bagi pihak yang berkaitan dengan pengendalian Liga M ini untuk menyusun semula jadual atau baki perlawanan.

“Masa yang berbaki agak suntuk menyambung Liga M dan itu tidak termasuk lagi perkara di luar jangka selain hari-hari tertentu seperti perayaan rasmi negara,” katanya.

Menurutnya, sememangnya penangguhan Liga M itu akan memberi kesan terutama pemain yang mungkin dipotong gaji tetapi mereka perlu mencari alternatif mencari pendapatan sampingan.