Keputusan Permohonan Liridon Krasniqi Dan Guilherme De Paula

KUALA LUMPUR: Keputusan permohonan Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula mendapatkan kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan pertukaran status pemain naturalisasi dijangka akan diketahui pertengahan bulan depan.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjangkakan keputusan permohonan mereka untuk menukar status dua pemain itu akan diketahui bulan ini.

Namun, keputusan itu masih belum diperolehi selepas FIFA dikatakan memerlukan dokumen tambahan membabitkan Krasniqi dan De Paula.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya sudah mengemukakan dokumen tambahan seperti diminta badan induk bola sepak dunia itu.

“Sekarang kita tunggu maklumbalas (keputusan) daripada FIFA. Biasanya mereka akan mengambil masa seminggu atau dua minggu dan saya jangka mungkin pertengahan Februari kita akan dapat maklumbalas.

“Sebelum ini kita sudah hantar dokumentasi dan sekarang ini adalah dokumen tambahan. Kita memerlukan maklum balas daripada negara (asal pemain), seperti dari Kosovo untuk Liridon dan Brazil (De Paula).

“Kita juga memerlukan dokumen daripada pihak ketiga yang mungkin kadang-kadang tak sepantas yang kita mahu. Jadi semua dokumen itu sudah kita terima pada hujung tahun lalu,” katanya.

FAM perlu mendapatkan kelulusan daripada FIFA sama ada dua pemain itu memenuhi kelayakan atau tidak untuk menukar status sebagai pemain naturalisasi sebelum mereka boleh mengemukakan permohonan mendapatkan kerakyatan negara ini daripada kerajaan.