Keputusan Berikut Akan Ditentukan

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberi bayangan bahawa kemungkinan untuk Liga Malaysia kembali beraksi dalam masa terdekat adalah tinggi ketika ini.

Ini selepas bilangan kes wabak COVID-19 menunjukkan perkembangan positif selepas beberapa bulan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Melihat kepada perkembangan rakyat Malaysia yang berdisiplin hingga berjaya memutuskan rantaian COVID-19, saya lihat keyakinan untuk kerajaan memberi kelulusan dan kebenaran kepada sukan-sukan seperti bola sepak untuk kembali beraksi adalah amat tinggi,” katanya kepada Bernama.

“Bagaimanapun, semuanya tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara.”

Keputusan berikut akan ditentukan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKPP yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, esok.

FAM dan MFL mengharapkan kerajaan akan memberikan kebenaran untuk mengadakan sesi latihan fasa 2, tarikh permulaan Liga Malaysia dan kebenaran kehadiran penyokong di stadium.