“Kenapa bayar RM15,000 ?”

“Kenapa bayar RM15,000 sedangkan tunggakan berjumlah lebih RM82,000?”

Bekas pemain pertahanan Kelantan, Norhafiz Zamani Misbah tidak faham mengapa Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) memasukkan hanya RM15,000 ke dalam akaunnya pada bulan lalu, walhal jumlah tunggakan gaji yang perlu dibayar kepadanya adalah lebih RM82,000.

Menurut pemain berpengalaman luas yang juga bekas kapten skuad kebangsaan itu, Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia pada 23 Mei lalu telah memutuskan KAFA membayar tunggakan itu dalam tempoh 30 hari, namun tiada pembayaran dibuat.

Tambahnya tiada persetujuan pernah dicapai untuk sebarang pengurangan mahupun tunggakan itu dibayar secara ansuran malah KAFA juga tidak memaklumkan kepadanya mengenai pembayaran RM15,000 itu.

Justeru itu, dia telah membuat keputusan untuk memulangkan semula duit RM15,000 itu kepada KAFA kerana khuatir persatuan itu akan cuba untuk menunjukkan transaksi itu kepada FAM sebagai bukti tunggakan sudah selesai seterusnya mencari jalan mudah mendapatkan lesen untuk bermain di Liga Premier 2020.

“Saya sudah beberapa kali berhubung dengan pihak pengurusan tetapi gagal mencapai kata sepakat, malah mereka tidak menunjukkan usaha mahu membayar tunggakan, hanya berjanji dan kemudian berdiam diri tanpa sebarang perkembangan.

“Tiba-tiba pada 27 November KAFA masukkan RM15,000 ke dalam akaun tetapi tiada siapa yang memaklumkan kepada saya, saya tidak faham untuk apa RM15,000 itu kerana saya tidak pernah setuju untuk tunggakan dibayar ansuran ataupun dikurangkan.

“Saya pulangkan semula duit itu sehari selepas itu kerana khuatir jika saya terima RM15,000, mungkin juga mereka boleh kata saya sendiri telah bersetuju bayaran dikurangkan. Dan menjadikannya sebagai satu jalan untuk memohon kelonggaran FAM untuk memberikan lesen,” ujar Norhafiz Zamani kepada Harian Metro Online.

Dia turut berharap agar FAM mahupun Malaysia Football League memandang serius perkara ini dan tidak berlembut apatah lagi KAFA masih berhutang dengan ramai pemain dan ketika ini sudah rancak membuat persiapan musim baru selain sedang menguji beberapa pemain import.

Sebagai rekod, Norhafiz Zamani yang kini merupakan kapten skuad Negeri Sembilan pernah mewakili skuad dengan jolokan The Red Warriors itu selama tiga musim dari 2015 – 2017.