Kem latihan pusat Harimau Malaya pada Mac ‘wajib’ diadakan

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya hanya akan menjalani kem latihan pusat bulan depan bagi mengharungi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Perkembangan itu dimaklumkan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dengan menjelaskan latihan yang dirancang pada Januari lalu terpaksa dibatalkan atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

Justeru, beliau berkata kem latihan pusat pada Mac nanti ‘wajib’ diadakan sama ada perlawanan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam pada bulan itu ditangguhkan ke Jun atau tidak.

“Kita sedang tunggu keputusan daripada AFC (Konfederasi Bolasepak Asia). Saya rasa 15 Februari ini (esok) badan induk itu akan putuskan sama ada perlawanan Mac nanti akan ditunda ke Jun atau bagaimanapun.

“Mengikut perancangan kita memang kena panggil (kem latihan pusat pada Mac), kerana kalau Jun nanti agak terlewat selepas hampir setahun setengah (pemain Harimau Malaya) tidak bersama.

“Orang kata sukar untuk kita sebab tiga perlawanan terakhir memang sengit. Jadi kita harap Mac nanti kita dapat adakan latihan,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Baki aksi kelayakan dijangka diadakan secara karnival sekiranya perlawanan pada Mac terpaksa ditunda ke Jun. Berdasarkan jadual asal, skuad Harimau Malaya akan menentang UAE pada 25 Mac manakala Vietnam (30 Mac) dan perlawanan terakhir di Bangkok berdepan Thailand 15 Jun.

Selain itu, Cheng Hoe turut menganggap tindakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tetap meneruskan sepak mula Liga Malaysia (Liga M) pada 5 Mac ini satu perkembangan positif buat skuad kebangsaan.

“Memang perkhabaran yang baik kerana semua pemain sudah tidak sabar menunggu perlawanan kerana sudah lama berehat selepas habis musim lalu. Jadi satu perkembangan yang baik untuk semua sama ada kelab dan pasukan kebangsaan,” katanya.

Sumber: BH