Kelibat ‘Heri Bota’ Menjadi Bualan Di Kalangan Penyokong Helang Merah

Posting bergambar mengenai sesi latihan pertama Kedah semalam secara tiba-tiba menjadi bualan di kalangan penyokong Helang Merah kerana kelibat ‘Heri Bota’.

Kelibat seakan-akan ‘Heri Bota’ itu dilihat sedang menjalani sesi latihan bersama Kedah – yang telah dijalankan buat pertama kali selepas liga tertangguh hampir tiga bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Siapa Heri Bota?

Heri Bota merupakan watak lakonan pelakon remaja, Aedy Ashraff dalam telemovie komedi, Heri Bota yang telah bersiaran di RTM pada awal Jun lalu. Telemovie tersebut menggunakan latar belakang negeri Perak dan menggunakan loghat daerah di Bota.

Dek kerana wajah pemain tersebut persis Aedy Ashraff, ramai yang telah meninggalkan komen pada gambarnya dengan pelbagai komentar berunsur jenaka antaranya, “Dah tiada job berlakon ka?”, “Jem, marka pakat mai dah” dan sebagainya.

Aedy Ashraff merupakan pelakon remaja yang telah mula masuk ke bidang lakonan sejak berusia 10 tahun dan kini pelakon yang berusia 26 tahun itu sudah membintangi puluhan drama dan juga telemovie seperti Jutawan Fakir dan Tentang Bulan.

Siapakah pemain tersebut? Beliau merupakan pemain muda Kedah, Mohd Aiman Afif Md Afizul, yang mana posting gambarnya telah menarik minat penyokong sehingga hampir 100 komen berbanding komentar di gambar-gambar pemain lain.

‘Budak Jitra’‘Ubi muda’ Kedah

Mohd Aiman Afif adalah antara pemain muda baharu yang telah didaftar untuk bersama skuad senior Kedah pada permulaan musim yang lalu dan juga telah membantu skuad B-18 negara dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 lalu.

Malaysia mara ke kejohanan utama selaku juara Kumpulan G dengan merekodkan empat kemenangan bersih daripada empat perlawanan dan Aiman Afif adalah penyumbang utama jaringan buat skuad negara dengan tujuh gol peribadi.

Dek kerana kemampuannya dan juga namanya yang sedang meningkat naik, pengendali Helang Merah, Aidil Sharin Sahak dengan pantas telah menaikkan pangkatnya bersama skuad utama dengan lanjutan kontrak sehingga 2024.

Selain itu, pemain kelahiran Jitra tersebut turut ‘diikat’ dengan klausa perlepasan bernilai RM5 juta bersama seorang lagi ‘ubi muda’ mereka, pertahanan tengah, Loqman Hakim Marzuki bagi memastikan bakat muda mereka lebih terjaga.

Kedah kembali ke padang

Dalam pada itu, laman Facebook Kedah FA telah memuat naik posting mengenai sesi latihan pertama Kedah yang dilangsungkan secara tertutup di Stadium Darul Aman.

Menurut posting tersebut, latihan tanpa sentuhan telah dijalankan secara tiga sesi dengan setiap latihan melibatkan sejumlah 10 pemain dan empat jurulatih. Pemain-pemain dan jurulatih telah dipastikan untuk mengikuti SOP ketat yang ditetapkan.

Selain daripada itu, pihak pengurusan pasukan juga telah menyediakan laluan khas masuk dan keluar ke stadium, selain melakukan pemeriksaan suhu, pendaftaran nama pemain dan jurulatih serta pemakaian topeng muka sebelum dan selepas latihan.

Antara pemain-pemain yang dilihat dalam sesi latihan semalam adalah peny3rang sensasi, Kipre Tchetche, Zaquan Adha, David Rowley dan kapten, Baddrol Bakhtiar.