Kelantan United idam sekurang-kurangnya satu mata

KELANTAN United FC (KUFC) mahu mencuri satu mata iaitu sekurang-kurangnya keputusan seri apabila menentang naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi pertama Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam Isnin.

Ketua Jurulatih KUFC, Nazrulerwan Makmor berkata, sasaran itu dianggap realistik kerana menentang Kedah yang mempunyai barisan pemain tempatan dan import berkualiti.

“Menentang Kedah bukan tugas mudah kerana skuad dari utara Semenanjung itu antara pasukan pilihan malah berdasarkan rekod terdahulu mereka sentiasa boleh melangkah jauh dalam pertandingan Piala Malaysia.

“Pulang satu mata sudah memadai kepada kami, jika menang ia sebagai bonus kepada pemain,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Ahad.

Nazrulerwan berkata, persiapan KUFC juga sedikit sukar kerana tidak mempunyai masa mencukupi selepas terpaksa mengharungi perlawanan terakhir Liga Premier, Jumaat lepas.

“Semalam kami berehat dan hari ini kami berlatih secara ringan sebelum bertolak ke Kedah,” katanya.

Selain KUFC dan KDA FC, dua lagi pasukan dalam Kumpulan C ialah juara Liga Premier Negeri Sembilan FC dan Melaka United.

Mengulas lanjut, Nazrulerwan mahu pemainnya menggunakan dua kemenangan yang dicapai dalam dua aksi terakhir Liga Premier sebagai bekalan motivasi apabila menentang KDA FC.

“Pemain perlu bermain seperti yang dirancang dalam sesi latihan,” katanya.
– Bernama