Kelab England Sedia Lepas Bintang Muda Untuk Malaysia

KUALA LUMPUR: Hasrat pasukan bawah 19 (B-19) tahun negara untuk mendapatkan sentuhan pemain muda Brighton & Hove Albion, Jaami Qureshi tampak cerah.

Ia susulan bapanya, Perviz Qureshi mengatakan kelab England itu sedia melepaskan Qureshi sekiranya dipanggil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghadapi kejohanan B-19 AFC, Oktober ini.

Perviz turut memberi komen bagi menjawab beberapa persoalan selepas Marco Negeri menghebahkan berita pelepasan anaknya oleh kelab terbabit di Twitter.

Tidak, dia (Qureshi) akan diizinkan beraksi di (kejohanan) AFC sekiranya FAM memilihnya, kata Perviz bagi menjawab soalan pengguna media sosial adakah pelepasan dari kelab itu bermakna anaknya akan menjadi ejen bebas.

Pengurus skuad B-19, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, kelmarin menjelaskan pihaknya sangat berminat membawa Qureshi menyertai skuad muda negara.

Malah, beliau mendedahkan usaha membawa pulang pemain muda yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi kejohanan AFC di Uzbekistan nanti.

Katanya, FAM dalam proses akhir dokumentasi untuk menerbangkan Wan Kuzri ke Malaysia, selain pemain berusia 18 tahun itu turut menyatakan minat menyertai skuad muda Malaysia.

Kredit:- BH