Kekecewaan berganda buat pemain skuad B-19 negara

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sah membatalkan Kejuaraan Bawah 19 (B-19) susulan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat EXCO badan induk itu, hari ini.

“Kejuaraan B-19 dibatalkan. Jadi, tuan rumah Uzbekistan akan menjadi tuan rumah pada edisi akan datang, begitu juga kejohanan B-16 di Bahrain.

“Faktor utama adalah kerana ketidakstabilan keadaan COVID-19 termasuk dari segi penerbangan dan tiada jaminan kemasukan di pintu sempadan sesetengah negara,” katanya.

Keputusan itu pasti memberi kekecewaan berganda buat pemain skuad B-19 negara selepas sebelum ini menerima berita sedih pembatalan kejohanan Piala Dunia B-20 2021 di Indonesia.

BH Sukan, sebelum ini melaporkan jawatankuasa pertandingan AFC secara tidak rasmi sudah membuat keputusan membatalkan kejohanan itu.

Pengurus skuad B-19 negara, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar sebelum ini juga sudah memberi bayangan kejohanan itu akan dibatalkan susulan keputusan FIFA membatalkan Piala Dunia B-20.