Kedah dapat talian hayat

TEMPOH yang diberikan sudah mencukupi namun terdapat sekurang-kurangnya empat pasukan Liga Malaysia (Liga M) sehingga kini gagal melengkapkan dokumen berkaitan kewangan yang sepatutnya dihantar hari ini.

Walaupun peringatan sudah diberikan kepada semua pasukan, namun akibat gemar melakukan gerak kerja pada saat akhir menyebabkan mereka gagal menyelesaikannya pada tarikh yang sudah ditetapkan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata, empat pasukan berkenaan termasuk yang bersaing di Liga Super namun berhadapan beberapa masalah dalam menyelesaikan dokumentasi berkaitan kewangan.

“Berkaitan dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) pula pertimbangan diberikan kepada mereka dengan melanjutkan tempoh adalah kerana ketika ini mereka berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran ketika ini sekali gus sukar untuk melakukan beberapa urusan.

“Namun, perkara itu akan dirujuk kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk tindakan lanjut manakala pasukan lain akan dipantau FAM.

“Jangan salah faham kerana FAM tidak memberikan talian hayat kepada mereka cuma tempoh lanjutan itu ditentukan oleh AFC nanti,” katanya.

Terdahulu, difahamkan KFA sudah melengkapkan lima kriteria yang diperlukan FAM iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran, perundangan dan perniagaan sebelum tarikh tutup pada 31 Ogos lalu, namun KFA kini sedang dalam fasa menyiapkan kriteria kewangan yang tempoh tamatnya pada 15 September.

Presiden KFA yang juga Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya mengemukakan rayuan terhadap tarikh akhir penyerahan dokumen berkenaan.

Sanusi juga memaklumkan KFA berhadapan tunggakan yang tinggi membabitkan jumlah tuntutan berkaitan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan juga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).