Kedah baham Tai Po FC

Hatrik daripada peny3rang baharu, Tchetche Kipre dan jaringan berganda oleh Hadin Azman telah memastikan pasukan Kedah mudah mengatasi Tai Po FC dalam pusingan 2 kelayakan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2020 dengan keputusan 5-1.

Pemain Ivory Coast menjadi penjaring pertama seawal minit ke-3 menerusi satu rembatan ‘half volley’ daripada luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Ho Yui.

Tidak cukup dengan gol itu, Tchetche sekali lagi menggamatkan Stadium Darul Aman pada minit ke-21 apabila bola hantaran lentang daripada Rizal Ghazali berjaya disambarnya untuk meletakkan Kedah mendahului 2-0.

Tai Po FC yang merupakan juara bertahan Hong Kong Premier League nyata tertekan dengan keadaan sedemikian lebih-lebih lagi pasukan Kedah menguasai hampir keseluruhan permainan dengan cemerlang.

Lebih memilukan, Tai Po FC terpaksa bermain dengan 10 orang setelah pemain bernombor 23, Sun Ming Him dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana menarik Tchetche Kipre yang berseorangan melancarkan counter attack pada minit ke-34.

Separuh masa pertama tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan Kedah.

Memasuki separuh masa kedua, giliran Hadin Azman pula menggegarkan jaring lawan apabila suatu permainan kombinasi antaranya dengan Kpah dan Kipre telah mengucar-kacirkan benteng pertahanan Tai Po FC sekaligus menjadikan skor semasa 3-0.

Dan bekas pemain FELDA United itu sekali lagi mengambil peluang mencatatkan nama selaku penjaring pada minit ke-66 apabila tenang menyudahkan bola muntah di dalam kotak penalti.

Sayangnya pasukan Kedah tidak berhasil membawa pulang kemenangan bersertakan ‘clean sheet’ dimana sedikit kealpaan di barisan pertahanan menyebabkan Chan Man Fai berjaya meraih gol saguhati pada minit ke-67.

Pada akhir-akhir minit pemainan iaitu sekitar minit ke-92, Tchetche Kipre berjaya melengkapkan hatriknya sekaligus menjadikan keputusan akhir 5-1.

Kemenangan ini sekaligus membolehkan mereka menempah tiket ke saingan play-off ACL 2020 bertemu FC Seoul di Republik Korea, 28 Januari depan.