Kebangkitan pemain KDA FC benam Sabah FC

Alor Setar : Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak boleh menarik nafas lega buat skuad Hijau Kuning selepas berjaya meraih tiga mata pertama dengan menewaskan Sabah FC 2-0 di Stadium Darul Aman, malam tadi.

“Semua pemain telah bekerja keras untuk memperoleh kemenangan pertama ini dan perkara paling penting buat kami adalah pungutan tiga mata yang diperoleh di laman sendiri pada perlawanan ini.

“Kami tidak anggap mudah pada perlawanan malam ini kerana Sabah FC dilihat berada pada tahap yang mampu memberi saingan yang kuat walaupun tidak memiliki import penuh dan kita boleh lihat mereka memberi tentangan hebat dengan asakan oleh pemain tempatan terutama pada babak kedua.

“Sabah memiliki dua penyerang yang hebat iaitu Amri Yahyah dan Bobby Gonzales dan mereka memiliki corak serangan balas yang bagus, namun bagaimanapun, barisan pertahanan dan dua pemain tengah kami menunjukkan kemampuan yang diharapkan dalam usaha menghalang serangan berbahaya pihak lawan”. katanya.

Di sebalik kejayaan, Aidil bagaimanapun tetap mengakui skuadnya masih memerlukan peningkatan seterusnya apabila bertemu Penang FC, Jumaat ini.

“Kami baru memasuki perlawanan kedua dan selepas ini kami hanya ada dua hari untuk membuat persiapan menentang Penang FC dan pastinya kami akan menilai pemain mana yang mencapai tahap kecergasan yang di tetapkan sebelum berangkat dengan 20 pemain terbaik”. katanya.

Tambah Aidil lagi, bertemu Penang FC juga adalah pertembungan yang dijangka cukup sengit kerana pasukan berkenaan dilihat cukup bersemangat musim ini selepas kembali semula ke Liga Super pada musim ini.