KDA FC , JDT Mahu melonjak atau terus ‘dipijak’?

KUALA LUMPUR: Mahu melonjak atau terus ‘dipijak’?

Itu persoalan yang perlu dirungkaikan Kedah Darul Aman (KDA FC) apabila mereka akan bertemu pendahulu ‘sipi-sipi’, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi di Stadium Darul Aman, malam ini.

Kali pertama bertembung untuk merebut Piala Sultan Ahmad Shah pada awal musim ini, JDT menghadiahkan kekecewaan pertama buat KDA FC susulan kejayaan mengutip ‘dua dalam satu’ apabila membawa pulang mata penuh dan trofi.

Dan kali ini, pertembungan ini juga cukup besar dan cukup penting apabila ia boleh dilabel sebagai aksi ‘six pointer’ apabila menemukan dua pasukan terbaik di puncak Liga Super ketika ini.

Apa yang membuatkan aksi ini penuh dramatik adalah kerana jurang yang sangat ‘halus’ antara dua pasukan, hanya satu mata yang membezakan kedua-dua pasukan itu di mana JDT menghimpun 24 mata sementara KDA FC merekodkan 23 mata daripada 11 perlawanan.

Justeru, ini ‘menghidangkan’ peluang terbaik khususnya buat KDA FC kerana sekiranya berjaya meraih kemenangan, mereka akan memintas JDT untuk berada di puncak dengan kelebihan dua mata ke atas penyandang kejuaraan.

Begitu juga buat JDT, kemenangan akan terus meletakkan mereka di ‘petak hadapan’ untuk terus mendongak sekali gus kekal berada pada landasan yang tepat untuk kejuaraan kali kelapan berturut turut.

Mungkin juga perlawanan ini akan ditentukan menerusi kebergantungan kepada pemain dari bangku simpanan jika ‘Pelan A’ Aidil Sharin Sahak ataupun Benjamin Mora tidak menjadi.

Kedua-dua pasukan memiliki bangku simpanan yang baik – pemain gantian KDA FC sentiasa memberi impak untuk mengubah nasib mereka sementara JDT pula ada pemain simpanan yang dicemburui pasukan lain dalam Liga Super.

Sifir mudahnya, siapa yang kalah, mereka perlu merelakan diri untuk menjadi ‘tangga’ buat pasukan yang menang, namun apa yang pasti, kedua-dua pasukan tidak akan membenarkan maruah mereka tercalar.

Sementara itu, KL City FC pula pasti berdebar untuk bertemu Penang FC (PFC) yang terus mengekalkan reputasi mereka sebagai ‘penghvkum’ buat JDT.

PFC terus ‘membinasakan’ mana-mana pasukan yang sebelum ini berjaya mengutip mata ke atas JDT termasuklah yang terbaru, kemenangan bergaya 4-1 ke atas Terengganu FC (TFC) yang sebelumnya mengejutkan penyandang juara itu.

KL City FC menjadi pasukan keempat yang menafikan JDT daripada meraih mata penuh musim ini dan melihat kepada ‘nasib’ Selangor FC, Perak FC dan TFC, ini memberi satu ramalan yang buruk kepada mereka.

Apa yang pasti, Bojan Hodak perlu merencana strategi yang lebih baik dan berkesan sekiranya skuad Warga Kota tidak mahu memasuki ‘buku rekod’ PFC pada musim ini.

TFC yang menghuni tangga keempat perlu memulihkan semula ‘air muka’ mereka selepas dibelasah PFC minggu lalu dan aksi bertemu UiTM FC mungkin menjadi medan sempurna untuk mereka ‘melepas geram’.

Berdepan pasukan di tangga tercorot yang belum lagi merasai sebarang kemenangan, anak buah Nafuzi Zain itu seharusnya tidak ada masalah untuk mengutip mata penuh.

sumber:BH

Jadi, ia bukanlah satu kejutan jika mereka menang ke atas UiTM FC namun kalau mereka dipaksa untuk seri, itu sememangnya satu masalah yang besar buat mereka.