‘kata-kata keramat’ Ifedayo

“You call yourself The King of Malaysia, you come Shah Alam,” Ifedayo Olusegun.

Peminat Selangor sudah tentu masih ingat dengan ‘kata-kata keramat’ yang dilontar oleh pemain import dari Nigeria ini. Ifedayo menamatkan musim ini dengan rekod jaringan 16 gol dari 20 perlawanan dalam semua pertandingan.

Selepas dikekalkan oleh Selangor untuk membawa cabaran skuad The Red Giants pada musim depan, pemain berusia 28 tahun ini dalam temubualnya bersama The Star mengatakan beliau kini tidak sabar untuk bergandingan dengan seorang lagi penyerang import Selangor, Rufino Segovia.

Peny3rang kelahiran Sepanyol itu merupakan penjaring terbanyak pasukan pada musim 2018 dengan 31 gol dari 35 penampilan, tetapi pemain tersebut dilanda kecederaan lutut yang serius pada awal musim ini. Namun Selangor tetap memberikan kepercayaan kepadanya untuk menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) 2020.

“Apabila saya datang ke Selangor, saya fikir saya akan dapat bermain bersama Rufino. Saya ingat dia sudah sedia bermain selepas pulih. Malangnya dia masih belum bersedia untuk diturunkan untuk saingan Piala Malaysia,” ujar Ifedayo.

“Jadi untuk musim 2020, saya bersedia untuk bergandingan dengannya kerana ianya lebih baik untuk beraksi di barisan hadapan dengan seseorang yang rapat dengan kami.

“Kami boleh berkongsi ‘keghairahan’ kami untuk menjaringkan gol dan membantu antara satu sama lain. Rufo adalah penyerang utama yang bijak dan tahu bagaimana mana mahu melaksanakan tugasannya dengan baik.”

Bekas penyerang Felda United itu turut gembira dengan pemain-pemain baharu yang menyertai pasukan itu seperti Brendan Gan, Norhakim Hassan, Nicholas Swirad, Rodney Celvin Akwensivie, dan Safuwan Baharudin.

Beliau percaya semua pemain berprofil tinggi itu amat menepati kehendak pasukan dan beliau yakin jurulatih akan melaksanakan taktikal baharu dengan kehadiran mereka.

Dalam masa yang sama, Ifeddayo tidak menolak kemungkinan untuk menyambar anugerah kasut emas pada musim depan, namun menurut beliau, keutamaan pasukan pada musim 2020 adalah menjulang satu atau dua trofi kejuaraan bersama Selangor.

“Sebelum menyertai Selangor, saya pernah memenangi kejuaraan liga dan piala di Bahrain ketika bersama kelab Al-Riffa. Saya mahu ianya juga berlaku di Selangor. Mereka berhak untuk mendapatkannya.

“Musim ini bila sampai satu peringkat barulah kami mendapat rentak dan turut bermain dengan baik di Piala Malaysia. Kami perlu tingkatkan lagi kemampuan pasukan dan saya percaya dengan pemain baharu yang ada ini kami mampu untuk mencabar mana-mana kejuaraan.”

“Jika dapat kasut emas baguslah, tetapi keutamaan saya adalah memenangi trofi.”