Karisma Yang Jarang Dijumpai Pada Mana-Mana Pemain

PERTAHANAN berpengalaman Shukor Adan adalah bintang yang dilahirkan untuk menjadi ketua di atas padang serta mempunyai karisma yang jarang dijumpai pada mana-mana pemain lain.

Demikian pandangan rakan seangkatan Shukor, Norhafiz Zamani Misbah yang melihat ciri kepimpinan Shukor sebagai istimewa yang menyebabkan dia masih mampu meneruskan karier walaupun usia sudah menjangkau 41 tahun.

Katanya, Shukor sentiasa menjadi pemain dihormati kawan dan lawan malah sentiasa bijak mengawal benteng pasukan jika beraksi selaku pemain pertahanan tengah.

“Saya dan Shukor sudah mengenali antara satu sama lain sejak beraksi dalam skuad Piala Presiden Negeri Sembilan pada 1998 dan bermain dalam pasukan utama pada 2000 serta 2001 selepas dia berhijrah dari Melaka pada waktu itu.

“Sejak menjadi rakan sepasukan di awal karier, saya sudah dapat melihat ciri istimewa Shukor yang kekal sampai hari ini. Apa yang saya paling kagum dengan Shukor ialah dia ada auranya tersendiri kerana kalau berikan arahan atau naikkan semangat, semua pemain mudah dengar apa dia katakan,”katanya.

Selepas 2001 menjadi tahun terakhir mereka bersama, Norhafiz dan Shukor sekali lagi bergandingan di Negeri Sembilan,10 tahun selepas itu pada musim 2011 dan 2012.

Shukor menjadi salah seorang bintang dalam Best XI Norhafiz yang disenaraikan sebagai pemain tengah di dalam formasi 3-5-2 yang menjadi pilihan bekas tonggak kebangsaan berkenaan.

Mohd Syamsuri Mustafa diletakkan sebagai penjaga gol pilihan sementara tiga pemain pertahanan ialah Khairil Zainal, Khairul Anuar Baharom dan B.Rajinikandh.

Selain Shukor yang bertindak sebagai sebagai pemain tengah bertahan, Azrul Amri Burhan dan Gus Cerro turut menjadi pilihan Norhafiz manakala Rosdi Talib di bahagian kiri sementara Indra Putra Mahayuddin diletakkan bahagian kanan. B

Bekas penyerang Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, Azman Adnan serta penyerang PJ City Safee Sali melengkapkan senarai Best XI Norhafiz.

Seorang lagi pemain yang turut meraih perhatian Norhafiz ialah Azrul Amri Burhan yang pernah beraksi bersamanya pada musim 2003 dan 2004.

“Azrul salah seorang pemain mempunyai keupayaan teknikal mengagumkan, dia salah seorang pemain tengah paling kreatif sewaktu di puncak kariernya.

“Ketepatan hantaran jauh serta pendek Azrul begitu tinggi dan jarang sekali dia gagal melakukan hantaran tidak tepat kepada rakan sepasukan,” katanya.