Kante Kedah mahu balas kepercayaan penyokong setia Lang Merah

Pemain import baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Dechi Marcel mahu membalas kepercayaan yang diberi pengurusan skuad Hijau Kuning dan penyokong Kedah terhadapnya dengan aksi terbaik sebaik memulakan saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim ini.

Bagi pemain tengah kelahiran Ivory Coast ini, pemilihannya ke dalam pasukan Kedah adalah satu pengalaman baharu yang menggujakan buat dirinya selepas lima tahun beraksi dalam Liga M bermula dengan aksi pada 2017 bersama UiTM FC, sebelum menyertai Terengganu FC II pada musim 2019.

“Saya rasa sangat teruja dan memulakan latihan bersama pasukan Kedah yang dibimbing oleh Ketua Jurulatih, Aidil Sharin yang merupakan antara seorang jurulatih terbaik dalam Liga M.

“Saya kini sudah memulakan latihan dan setiap arahan yang diberi Aidil pastinya memberi panduan berguna untuk diadaptasikan pada aksi pramusim yang akan bermula mungkin minggu depan.

“Saya mahu terus bekerja keras bagi membuktikan kemampuan diri saya pada musim ini dan membalas kepercayaan terhadap saya diatas pemilihan yang dilakukan oleh pihak pengurusan.” katanya sebelum memulakan latihan di Stadium Sultan Abdul Halim.

Marcel yang sudah serasi dengan corak permainan Liga M juga menyedari tanggungjawab besar di ruang tengah perlu dipikulnya bagi memastikan penguasaan bola dapat dilancarkan ke ruang serangan seperti yang diharapkan penyokong.

“Saya juga tahu penyokong inginkan sesuatu dalam persembahan nanti dan itu adalah motivasi terbaik buat saya kepada seluruh penyokong Kedah dalam memulakan aksi sebenar bersama pasukan nanti.

sumber : arena metro

“Apa yang saya idamkan adalah mahu tampil dengan aksi terbaik dan pastikan penyokong Kedah lebih bersemangat pada musim ini.” katanya dengan penuh semangat.