“Kami Turut Terkejut Dengan Pengumuman Ini “

ALOR SETAR: Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak sekali lagi berdepan tekanan beraksi di luar selepas perlawananan menentang Melaka United yang dijadualkan di sini, malam esok terpaksa ditunda ke Isnin dan diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Penundaan itu terpaksa dilakukan berikutan pandemik C0VID-19 di negeri berkenaan terus meningkat.

“Kami turut terkejut dengan pengumuman ini kerana apa yang kami faham daerah Kota Setar bukan lagi dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti sebelum ini.”

“Namun apa boleh buat, kami tetap menerima keputusan ini selepas mendapat arahan. Pun begitu pemilihan stadium yang jauh di Kuala Lumpur ini jelas memberi kesan dari segi persiapan buat pasukan Kedah.

“Ini memberi kekurangan buat kami yang terpaksa bergerak jauh ke Lembah Klang sekali lagi selepas berbuat demikian ketika menentang pasukan Sabah sebelum ke Kuantan selepas itu”. katanya.

Sebelum ini Kedah terpaksa beraksi kali pertama di luar gelanggang asal iaitu Stadium Darul Aman selepas perlawanan menentang Sabah pada 21 September lalu ditukar ke Cheras susulan Kota Setar diisytiharkan di bawah PKPD.

Aidil berkata skuadnya yang kini berada pada kedudukan tangga ketiga carta Liga Super sedang fokus dalam perancangan memburu tiga mata di laman sendiri.

“Jika dipilih stadium berdekatan Kedah, saya rasa ianya satu pilihan lebih baik memandangkan kami tuan rumah kali ini. Dengan keputusan itu, kami harus mencongak semula persiapan yang perlu dibuat dalam masa sangat singkat.

“Saya berharap pemain tabah menghadapi ujian ini dan kami akan tetap terus berjuang demi meletakkan Kedah pada kedudukan yang terbaik pada musim ini,” katanya.