Kami Masih Mengharap

Sebentar tadi Malaysian Football League (MFL) mengesahkan Kedah FA hanya boleh memperolehi 500 tiket perlawanan untuk menyaksikan perlawanan merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim 28 Februari ini.

Walaupun dengan pengumuman tersebut, Kedah FA masih berharap JDT untuk mempertimbangkan agar ada tambahan 500 keping tiket lagi untuk membolehkan lebih ramai penyokong Lang Merah hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Bercakap kepada Berita Harian, Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris berkata pihaknya sudah mendapat makluman dari JDT berkenaan penyediaan 500 keping tiket perlawanan seperti yang tertakluk dalam peraturan oleh MFL.

Asmirul berkata tambahan tersebut diperlukan untuk membenarkan penyokong Lang Merah melihat sendiri kehebatan Stadium Sultan Ibrahim yang dirasmikan dengan penuh gilang gemilang semalam.

“Kami masih mengharap, saya cuma kesiankan penyokong Kedah yang sangat berharap untuk berkunjung ke stadium baharu JDT di mana kalau diikutkan permintaan sebenar kita perlukan 2,000 tiket tapi jika dapat kuota 1,000 tiket (tambahan 500) pun kita tetap bersyukur.

“Impian penyokong Kedah adalah untuk melihat sendiri kehebatan Stadium Sultan Ibrahim yang baru dirasmikan dengan gilang-gemilang semalam dan di samping itu wujud semangat kesukanan yang sangat tinggi dalam kalangan penyokong Kedah.

“Selain teruja, kami juga ingin bersama-sama penyokong JDT untuk memeriahkan lagi stadium bertaraf dunia ini dalam perlawanan pembukaan terhebat Liga Malaysia musim ini di mana kedua-dua pasukan yang sama-sama membawa nama Malaysia dalam kejuaraan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.

sumber: semuanyabola

Bagi Asmirul, ianya lebih baik jika kedua-dua kumpulan penyokong boleh menghangatkan suasana perlawanan bersama-sama.

Melalui laporan dari akhbar yang sama pada hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ghani Ab Hassan menjelaskan berdasarkan peraturan pembahagian tiket, Kedah hanya boleh mendapat 500 tiket untuk menyaksikan perlawanan pembuka tirai Liga Super itu.

Ia berdasarkan kuota pembahagian tiket stadium mengikut kapasiti 20,000 hingga 40,000, tuan rumah dibenarkan sediakan tiket kepada pasukan pelawat maksimum 500 tiket.

Kapasiti Stadium Sultan Ibrahim pula berkapasiti 35,000 sekali gus membenarkan Kedah hanya layak memperolehi 500 keping tiket.