‘Kami bersedia apa jua kemungkinan’

PASUKAN Liga Malaysia (Liga-M) bersedia sepenuhnya dengan apa jua keputusan yang akan diputuskan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sama ada akan memulakan saingan liga pada 15 Ogos ini atau kekal dengan perancangan asal pada 2 September.

Pengendali Selangor, B Sathianathan berkata, beliau tidak menghadapi masalah sekiranya liga bermula lebih awal dan akan merangka perancangan tersendiri untuk menyiapkan pasukan.

“Apa jua keputusan MFL, kita akan bersedia. Sebagai jurulatih perlu tahu macam mana nak buat perancangan dalam masa contohnya satu bulan sebelum liga bermula. Dari segi pemain, Selangor tidak mempunyai masalah kerana telah bersedia sepenuhnya dari segi kecergasan.

“Namun, saya tetap melihat apa yang dikatakan MFL itu betul dan kita tidak boleh tergesa-gesa untuk memberi peluang kepada pasukan buat persediaan. Bagi saya baki tujuh perlawanan ini sangat penting dan jika tergesa-gesa kita tidak dapat beraksi dengan standard yang tinggi,” katanya kepada Sinar Ahad,semalam.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan memberi bayangan badan pentadbir liga itu tidak mahu terburu-buru menyambung semula Liga-M walaupun kerajaan telah membenarkan saingan disambung semula bulan depan.

Bagaimanapun, MFL akan memberikan kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut dalam masa terdekat.

Sementara itu, pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan turut berkongsi pandangan sama dan mengakui perlu bekerja keras menyiapkan pasukan untuk berada pada tahap terbaik sekiranya liga disambung lebih awal.

“Bagi saya syukur kita dah tahu tahu liga boleh bermula selepas 15 Ogos. Kenyataan MFL tidak mahu tergesa-gesa memulakan saingan liga juga bagus untuk setiap pasukan bersedia lebih rapi dan teratur selepas tidak beraksi selama tiga bulan.

“Bagaimanapun, jika dimulakan lebih awal, kami perlu bersedia dan setiap pasukan Liga-M juga perlu bekerja keras menyiapkan pasukan dengan lebih baik.

“Saya sendiri juga telah mempunyai perancangan untuk mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan selepas latihan penuh dapat dijalankan pada 15 Julai ini ,” katanya.