Kalau Tak Mampu, Tutup Kedai

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Satiananthan berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap mana-mana pasukan Liga Malaysia yang masih belum melunaskan tunggakan gaji kepada pemain dan jurulatih.

Beliau yang juga ketua jurulatih Selangor menyifatkan semua pasukan dalam Liga Malaysia seharusnya mengambil pendekatan “ukur baju di badan sendiri” sebelum menandatangani pemain bintang dengan bayaran gaji yang lebih tinggi.

“Bagi saya senang. Tegas tak tegas, pasukan negeri atau kelab kena tahu ‘ukur baju di badan sendiri.’ Kalau tak mampu tu janganlah (terlibat) dengan dunia (bola sepak) profesional.

“Kalau tak mampu jadi pro, jadi amatur. Kalau bukan doktor pakar, jadi doktor biasa-biasa dan kalau tak mampu ikut syarat ditetapkan oleh FAM, Konfedarasi Bola Sepak Asia (AFC) atau Liga Bola Sepak Malaysia (MSL), jangan tipu diri sendiri.

“Kalau tak mampu bayar gaji, tutup kedai. Yang mampu masuk liga profesional dan yang tak mampu main Liga M3,” katanya seperti dipetik dalam Sinar Harian.

FAM sebelum ini membayangkan beberapa pasukan bakal kehilangan hak untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini kerana berdepan ris!ko penarikan lesen kelab kebangsaan.

Ia merupakan amaran terakhir daripada badan induk itu jika pasukan tersebut gagal melangsaikan tunggakan gaji dalam tempoh yang ditetapkan.

Satiananthan juga berpendapatan setiap pasukan perlu ada perancangan kewangan yang sistematik supaya tiada lagi masalah lain yang akan berlaku pada masa akan datang.

“Lagi satu bagi saya, perancangan kewangan sesebuah pasukan itu perlu dibuat dengan teliti supaya tidak timbul masalah di kemudian hari.

“Hari ini ada pasukan yang tak mampu sebenarnya, tapi kata boleh ‘dapat’ dari sana, boleh ‘dapat’ dari sini, tapi belum dapat lagi. Ada juga yang kata boleh ‘dapat’ bila stadium penuh. Sebenarnya, memang kena kira betul-betul,” tambahnya.