Kalaiharasan dalam radar Sarawak United

“Pelawaan oleh B Sathianathan (Pengarah Teknikal Sarawak United) untuk saya beraksi bersama Sarawak adalah dianggap satu penghormatan dan peluang terbaik beraksi dalam saingan Liga Super tahun ini,” kata pemain pertahanan tengah, L Kalaiharasan.

Bekas pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC berusia 26 tahun itu akui teruja apabila mendapat peluang beraksi bersama Sarawak bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) tahun ini.

“Selama tiga musim sejak 2019, saya beraksi dalam saingan Liga Perdana iaitu bersama Negeri Sembilan FC, Universiti Kebangsaan Malaysia FC dan PDRM.

“Walaupun pada 2018, saya beraksi dalam Liga Super bersama Negeri Sembilan, namun selepas itu kembali ke Liga Perdana.

“Jadi, sudah lama tak beraksi dalam Liga Super dan peluang diberikan pengurusan Sarawak ini adalah kesempatan terbaik untuk saya buktikan keupayaan sebenar dengan memberikan sumbangan terbaik kepada Sarawak,” katanya.

Bakat Kalaiharasan mula digilap ketika dia beraksi dalam skuad Piala Presiden Negeri Sembilan yang kemudiannya mendapat kepercayaan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) apabila dinaikkan pangkat untuk menyertai skuad senior bagi mengharungi saingan Liga M musim 2018.

Dia akui peluang diberikan pengendali berpengalaman itu (Sathianathan) akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membantu menjulang nama Sarawak dalam kempen liga utama itu.

“Saya akan menggunakan sepenuhnya pengalaman beraksi Liga M bagi membantu memantapkan skuad Sarawak dalam saingan Liga Super itu nanti dan seterusnya memastikan skuad berkenaan mampu bersaing serta meraih kejayaan.

“Sepanjang musim 2021, saya beraksi dalam kesebelasan utama PDRM hampir semua perlawanan liga yang dilalui dan berharap peluang sama dapat diperoleh ketika bersama Sarawak.

“Walaupun akan berhadapan persaingan sengit dengan pemain lain, namun saya akan sentiasa berusaha meningkatkan prestasi dan disiplin dalam persembahan kerana percaya ia menjadi elemen yang mampu memikat ketua jurulatih, E Elavarasan,” katanya.

Kalaiharasan berkata, dia berharap dapat kekal beraksi dalam pasukan Liga Super dalam tempoh mendatang sebelum menghabiskan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

“Selain dapat minit permainan yang lebih tinggi, saya juga berharap dapat mencipta kejayaan yang menggembirakan bersama skuad Sarawak tahun ini dan saya yakin pasukan ini ada ramuan untuk melakar sesuatu yang baik dalam Liga M tahun ini,” kata bekas pelatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22) itu, yang akan melapor diri pada 10 Januari ini.