Johor Tigris Melaungkan Amaran

PENYANDANG juara Liga Sepak Takraw (STL) Champions Cup, Johor Tigris melaungkan amaran akan memberi saingan sengit pada saingan STL 2020 musim ini apabila giat melengkapkan kekuatan pasukan yang menjadi wakil dari selatan tanah air itu.

Menurut Ketua Jurulatih Johor Tigris, Ahmad Jais Baharum, Johor Tigris dalam fasa terakhir untuk melengkapkan kekuatan pasukan bagi cabaran liga takraw negara yang dijadualkan berlangsung di Stadium Titiwangsa pada September depan.

“Apa yang boleh saya kongsikan setakat ini Johor Tigris sudah melengkapkan lima kuota pemain yang mana sudah pun mula turun mengadakan latihan intensif bagi cabaran STL 2020 yang tidak menggunakan pemain import susulan wabak Covid-19.

“Kami masih mengekalkan lima pemain musim lalu yang sudah membentuk kombinasi mantap bagi mengharungi saingan musim ini yang saya jangka lebih sengit tambahan pula STL 2020 dianjurkan dalam suasana norma baharu.

“Boleh dikatakan 90 peratus musim ini muka lama, namun pada masa ini kami masih mencari pemain posisi tekong bagi memantapkan daya saing Johor Tigris pada edisi ini.

“Biarpun begitu calon untuk mengisi posisi tekong kedua sudah ada cuma saya dan Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ) masih dalam proses memuktamadkannya,” kata kepada Sinar Harian semalam.

Johor Tigris muncul juara STL Champions Cup selepas menjinakkan penyandang juara Penang Black Panthers pada aksi final di Iskandar Studio Malaysia, Johor, tahun lalu.

Turun selaku pasukan bukan pilihan, regu Muqlis Borhan – Mohd Farid Abd Aziz – Noraizat Nordin menewaskan gandingan Farhan Adam – Azlan Alias – Adam Aiman Zainol, 21-10, 21- 13 sekali gus menebus kekalahan 21-10, 21-19 pada saingan peringkat kumpulan sebelum itu.

Pada masa sama Ahmad Jais percaya kerancakan saingan STL 2020 tetap menjanjikan saingan sengit dan lebih terbuka setiap pasukan walaupun saingan pada musim ini tanpa kelibat pemain import seperti musim lalu.

“Biarpun Covid-19 menyekat kehadiran bintang-bintang import yang mewarnai saingan seperti musim lalu, namun pada musim ini saya yakin kehadiran semula dua tekong terkenal negara Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak akan memberi impak positif kali ini.

sum ber: SH

“Tanpa bintang-bintang import juga akan memberi lebih ruang kepada pemain tempatan membuktikan kehebatan masing-masing sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada jurulatih kebangsaan merekrut pemain untuk skuad negara pada masa depan.

“Saya juga harapkan semua yang menjayakan saingan STL 2020 ini baik pemain, jurulatih, pengurus serta pegawai meningkatkan tahap disiplin dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.