Jentera serangan import Timur Tengah, Korea Selatan pilihan Perak FC

IPOH: Perak FC mensasarkan membawa masuk penyerang import dari Timur Tengah atau Korea Selatan bagi memperkuatkan bahagian serangan skuad The Bos Gaurus untuk menghadapi saingan musim ini.

Perkembangan itu diumumkan Presiden Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, di sini, malam tadi.

Katanya, pembentukan pasukan dan pemilihan pemain sudah hampir lengkap sepenuhnya dengan mengekalkan sebilangan besar pemain dari musim lalu selain turut membawa masuk beberapa pemain skuad Piala Presiden.

“Skuad diperkuatkan lagi dengan kehadiran beberapa pemain baru seperti Muhammad Shakir Hamzah, 28, iaitu pemain import berasal dari Singapura yang pernah mewakili Kedah pada musim lalu untuk beraksi di posisi tengah bertahan dan pertahanan.

“Selain itu, Muhammad Azri Ab Ghani, 21, yang juga mewakili Kedah pada musim lalu untuk beraksi di posisi penjaga gol dan Muhammad Danish Haziq Saipul Hisham, 23, yang mewakili UITM FC pada musim lalu untuk posisi bek kanan,” katanya selepas majlis makan malam di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini.

Ahmad Faizal turut menzahirkan penghargaan kepada tujuh pemain yang tidak lagi bersama Perak FC musim ini.

Mereka adalah Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (penyerang), Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri (tengah), Mohamad Hafiz Ramdan (sayap kiri), Antony Paul Golec (pertahanan), Chanthacheary Bin (tengah), Khairul Amri Salehuddin (penjaga gol) dan Shathiya Kandasamy (pertahanan).

Beliau turut mengesahkan Mehmet Durakovic kekal sebagai ketua lurulatih Perak FC.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata pelan pemisahan Perak FA ke Perak FC sudah selesai sepenuhnya melalui penubuhan syarikat Perak FC Sdn Bhd mengikut garis panduan ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia.

Menurutnya, masih terdapat beberapa perkara yang belum dapat diumumkan lagi pada ketika ini seperti penetapan logo dan perlantikan CEO, namun ianya dijangka selesai dalam masa terdekat.

Katanya, selepas ini PAFA dan juga Perak FC akan menjadi dua entiti yang berlainan serta mempunyai bidang tugas dan tanggungjawab berbeza.

“Perak FC akan tertumpu kepada aspek pengurusan dan pembentukan pasukan Liga Super, Liga Perdana, Piala Presiden (bawah 21), Piala Belia (bawah 19), Liga KPM (bawah 17) termasuk penyediaan pasukan bawah umur 12 tahun.

“PAFA pula akan lebih tertumpu kepada program pembangunan bolasepak negeri termasuk penganjuran liga negeri, program kepengadilan, program kejurulatihan dan lain-lain,” katanya.