JDT Tinggal Sejarah

Peny3rang baharu Terengganu FC (TFC), Darren Lok dalam sesi temubual pertamanya di TFC menyatakan keterujaannya untuk turun beraksi sebagai pemain TFC dalam saingan Liga Super 2020.

Pemain yang merupakan pemain kacukan Malaysia-England itu telah bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk lebih tiga musim namun boleh dikatakan jarang mendapat peluang untuk menyerlah.

Menganggap sejarahnya bersama JDT telah berlalu, Darren Lok mahu memandang ke hadapan dengan kelab baharunya, TFC dan skuad tersebut juga menurutnya menyambut kehadirannya dengan baik.

Pada 28 November lalu, Darren Lok menerusi akaun Twitternya telah memuat naik ciapan mengucapkan terima kasih kepada JDT atas peluang yang diberikan kepadanya sepanjang lebih tiga tahun.

“Terima kasih JDT. Terima kasih untuk semua penyokong, staff pasukan terutamanya TMJ atas tiga tahun setengah di kelab yang hebat ini. Saya tinggalkan pasukan dengan banyak memori indah,” tulis Darren Lok.

Beliau kemudiannya memuat naik ciapan terbaharu pada 30 Januari lalu dengan berkata sudah tidak sabar untuk bersama TFC dan akan memberikan segalanya untuk Sang Penyu musim hadapan.

Peny3rang berusia 29 tahun itu merupakan pemain kedua dari JDT yang menyertai kem Sang Penyu selepas pemain sayap meny3rang, D. Saarvindran terlebih dahulu tiba ke Kuala Terengganu sebelum ini.

“Saya berasa sangat gembira. Ketika sesi latihan, semuanya nampak baik seperti sebuah kelab profesional yang lain. Semua di sini [pemain dan staff] membuatkan saya teruja dan tidak sabar untuk memulakan aksi bersama TFC,” ujarnya yang telah memiliki sembilan penampilan bersama Harimau Malaya.

“Saya melalui saat yang baik bersama JDT, tetapi ianya sudah berlalu. Ketika ini, saya sedang melihat kepada satu cabaran baharu dan seperti yang saya telah katakan, apa yang saya lihat TFC adalah sebuah kelab yang profesional dan mereka telah membuat segalanya dengan baik,” tambahnya lagi.

Dengan pengendali, Nafuzi Zain diketahui meminati aksinya, adakah kariernya akan kembali ke landasan dan bakal bersama skuad negara yang kali terakhir penampilannya adalah pada 2017?