JDT sudah ada skuad lengkap, pasukan lain masih ‘try and error’

Bekas pemain kebangsaan yang juga pengkr!tik bolasepak terkemuka, Sherbegeth Singh atau dikenali dengan panggilan Shebby, beranggapan belum ada pasukan yang boleh mengugat penguasaan Johor Darul Takzim (JDT) dalam kancah Liga Super.

Dengan menyifatkan skuad Harimau Selatan sebagai sebuah pasukan serba lengkap, Shebby berkeyakinan tinggi pasukan bimbingan Benjamin Mora itu tidak akan berdepan masalah besar untuk merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut.

Bercakap kepada BH Online, Shebby mengakui beberapa pasukan seperti Kedah, Selangor dan Terengganu berbelanja besar dan menunjukkan keinginan yang tinggi untuk mencabar JDT, namun baginya ia masih belum memadai kerana masing-masing masih dalam proses ‘try and error’.

“Pasukan-pasukan pencabar membuat persiapan hebat, tetapi mereka akan mengambil masa untuk membentuk pasukan yang mantap sedangkan JDT sudah mempunyai sebuah skuad lengkap dan tidak banyak membuat perubahan. Pemain yang mereka ada jauh lebih baik berbanding pasukan lain dan terlalu kuat untuk disaingi, jadi memang kejuaraan akan menjadi milik mereka,” kata Shebby.

Sepertimana dikatakan Shebby, JDT sememangnya tidak banyak membuat perubahan di dalam skuad apabila merekrut hanya seorang pemain iaitu Liridon Krasniqi dan melepaskan seorang pemain iaitu Dominic Tan ke kelab Thailand. Mereka mengekalkan sepenuhnya skuad musim 2019.

Ini berbeza dengan Selangor, Kedah mahupun Terengganu yang membuat rombakan besar dengan membawa masuk ramai pemain baru.

Antara pemain baru Selangor adalah Brendan Gan, Norhakim Hassan dan Nicholas Swirad; Terengganu pula menukar empat pemain import dan mendapatkan beberapa pemain tempatan seperti Nasir Basharudin dan D.Saarvindran manakala Kedah pula merekrut tujuh pemain termasuklah Kipre Tchetche dan Kpah Sherman dengan kesemua mereka masih lagi dalam proses menyesuaikan diri.

sumber: foxsports

Sebagai rekod, skuad Harimau Selatan menjuarai Liga Super buat pertama kali pada 2014 dan sejak itu belum ada pasukan yang dapat mengugat dominasi mereka.

Pada 2019, JDT menjuarai liga dengan baki empat perlawanan untuk ditamatkan dan mengakhiri musim dengan kelebihan 10 mata mengatasi pasukan tangga kedua Pahang.

Foto : Johor Southern Tigers