JDT perlu padam rekod lama Selangor dan cipta sejarah baharu

Suka atau tidak, Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu memenangi Piala Malaysia sekali gus ‘menyapu bersih’ dua piala pada musim ini bagi membuktikan status mereka sebagai pasukan terbaik dalam kancah bola sepak tempatan.

Itu pandangan legenda bola sepak Johor, Rizal Sukiman yang percaya skuad Harimau Selatan itu akan terus melebarkan pencapaian mereka sekiranya berjaya menjulang trofi berprestij itu pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Kata pemenang Piala Malaysia 1991 itu, mereka perlu terus memandang ke depan dan meleburkan rekod yang pernah dicatat pasukan lain seandainya mahu terus mengekalkan reputasi mereka sebagai pasukan nombor satu di Malaysia.

“Selepas Liga Super, mereka kena menang Piala Malaysia pula. Sebab kalau cerita mengenai Piala Malaysia, orang akan bercakap mengenai Selangor kerana mereka menang 33 kali.

“JDT perlu jadikan ini sebagai motivasi dan untuk itu, mereka perlu sasarkan untuk menang sebanyak 34 kali pula untuk padamkan rekod lama dan cipta sejarah baharu.

“Kita tengok sahaja seperti Cristiano Ronaldo, selepas padamkan rekod jaringan Ali Daei, dia cuba untuk padamkan rekod Datuk Soh Chin Ann pula. Dia mahu jadi yang paling atas supaya boleh dipanggil yang terbaik.

“Kalau JDT pun turut sapu Piala Malaysia, saya rasa pasukan lain pun akan rasa tercabar dan secara tidak langsung mereka akan terus menambahbaik pasukan. Ini akan jadikan bola sepak kita lebih bersaing,” katanya.

Sebagai rekod, skuad bimbingan Benjamin Mora itu ketika ini sudah menghimpun dua trofi Piala Malaysia yang dimenangi mereka pada edisi 2017 dan 2019.

sumber : BH

Turun sebagai juara bertahan, mereka akan berdepan cabaran satu lagi pasukan Liga Super, KL City FC pada aksi penentuan, Selasa ini.