JDT perkenalkan pemain baharu

Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal memperkenalkan pemain baharu pada 20 Disember, jumaat ini.

Perkara itu diumumkan oleh pemilik kelab, Tunku Mahkota Ismail ibni Sultan Ibrahim menerusi laman sosial peribadinya, pada hari ini.

Selain daripada pengumuman pemain baharu yang akan menyarung jeris Harimau Selatan pada musim depan, baginda turut akan mengumumkan beberapa projek baharu yang akan membawa JDT terus maju dan berkembang.

“Pengumuman besar akan dilakukan pada 20 Disember 2019. Ia mengenai pemain baharu, infrastruktur, aset-aset, nilai komersial kelab dan pemegang saham yang baharu. Masa yang sangat mengujakan!” tulis baginda menerusi Instagram Story.

Menerusi sesi ‘No Holds Barred’ yang disiarkan oleh laman sosial Johor Southern Tigers sebelum ini, Tunku Ismail yang juga Pemangku Raja turut menyatakan tiada pemain pada musim ini akan keluar atau berhijrah daripada JDT.

Ini menjadikan pemain-pemain tempatan seperti Aidil Zafuan Razak dan S. Kunanlan yang dimaklumkan mempunyai kontrak sehingga penghujung 2019 akan ditawarkan lanjutan atau kontrak baharu kepada mereka.

Sementara itu, lima pemain import mereka iaitu Diogo Luis Santo, Gonzalo Cabrera, Leandro Velazquez, Hariss Harun dan Mauricio turut kekal dalam perancangan JDT untuk saingan musim depan.

sumber: foxsports

Bagaimanapun, kelibat Liridon Krasniqi yang menjalani latihan bersama JDT pada ketika ini telah dijelaskan oleh Tunku Ismail untuk membantu pemain tersebut kembali pulih dan cergas. 

Namun tiada sebarang keputusan dibuat samada untuk mengikat pemain tersebut atau tidak untuk bersama JDT pada saingan Liga Malaysia 2020.