JDT Perjelas Ketiadaan Penaja Pada Jersi Baharu

Juara Liga Super Malaysia (MSL) enam kali berturut-turut, kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini melancarkan jersi baharu pasukan itu untuk musim 2020.

Dihasilkan dengan dua rekaan, jersi JDT kali ini menampilkan rekaan berjalur merah dan biru untuk jersi ‘home’ dan putih-emas untuk jersi ‘away’.

Pelancaran jersi tersebut diadakan dalam satu majlis gilang gemilang di Dataran Bandaraya Johor Bahru pada malam tadi.

Namun demikian, jersi tersebut turut menimbulkan tanda tanya penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan kerana ketiadaan nama penaja terpampang di jersi tersebut.

Pada musim-musim sebelumnya menyaksikan Forest City tampil sebagai penaja jersi JDT.

Berikutan pertanyaan daripada penyokong, media JDT melalui lidah rasmi JOHOR Southern Tigers tampil memberikan penjelasan.

Menurut penjelasan tersebut, ketiadaan nama penaja pada bahagian hadapan jersi JDT pada kali ini adalah sinonim dengan Misi RM1 Billion.

Ia adalah gambaran bahawa kelab tersebut mampu berdiri sendiri melalui ‘commercial value’ kelab tersebut.

Misi 1 Billion pertama kali didedahkan kepada umum oleh pemilik, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyasarkan nilai kelab berkenaan akan mencecah RM 1 billion dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, empat syarikat audit terbesar dunia akan membuat penilaian terhadap nila kelab JDT yang merangkumi apa jua aset dan nilai komersil.

sumber: semuanyabola

“Sasaran kami adalah diberi pengiktirafan dengan kelab ini bernilai RM1 billion dan kalau boleh lebih. Itu perancangan besar saya untuk pastikan JDT sentiasa berada dalam kelas tersendiri.

“Kami juga sedang dalam perbincangan bersama pemegang saham baharu dan antaranya bekas pemain antarabangsa Itali, Marco Materazzi.

“Malah beberapa bekas pemain antarabangsa bertaraf dunia juga menyatakan minat untuk membeli saham kelab JDT dan ketika ini saya memegang majoriti saham iaitu 70 peratus hingga 80 peratus dan akan memberi 20 peratus hingga 30 peratus saham kepada sahabat dan rakan penaja,” katanya pada sidang media pada Disember lalu.