JDT Mengucapkan Selamat Maju Jaya

PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh mengesahkan dua pemain pinjaman, Fazly Mazlan dan S Kumaahran dari Johor Darul Ta’zim (JDT) masih belum bersama skuad berkenaan.

Namun, Dollah berkata, dua pemain itu sah menyarung jersi Pahang sekali gus diyakini mampu memperkemaskan skuad itu bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Setakat ini, Fazly dan Kumaahran belum lagi tiba di sini (Kuantan) untuk bersama rakan lain menjalani latihan. Saya jangkakan mereka akan tiba minggu ini.

“Pada masa sama, status dua pemain ini juga hasil perbincangan antara Tengku Abbdul Rahman Sultan Ahmad Shah (Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (pemilik kelab bola sepak JDT.

“Saya kini hanya menunggu kehadiran mereka dalam memperkemaskan lagi persediaan Pahang sebaik Liga Super membuka tirai pada 28 Februari ini,” katanya.

Pahang akan memulakan saingan Liga Super apabila melayan kunjungan Selangor di Stadium Darulmakmur, 29 Februari ini.

Baru-baru ini, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards mengumumkan dua pemain mereka, Fazly Mazlan dan S. Kumaahran dipinjamkan kepada Pahang untuk saingan Liga M 2020.

“Kelab Bolasepak JDT mengucapkan selamat maju jaya kepada Fazly dan Kumaahran yang akan beraksi bersama Pahang secara pinjaman,” katanya dalam kenyataan itu.

Musim lalu, Fazly dan Kumaahran bermain dengan JDT II yang turut membantu kelab itu muncul juara Piala Cabaran.

Dengan pengalaman mereka yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya, ia sudah pasti membantu Dollah dalam membentuk pasukan lebih mantap.