JDT Mengakhiri Jelajah Pra Musim Dengan Kekalahan Tipis

Johor Darul Ta’zim mengakhiri jelajah pra musim mereka di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan kekalahan apabila tunduk kepada Emirates FC dengan keputusan 3-2.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium The Seven, juara Liga Super musim 2019 itu membuat beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama dimana pengendali pasukan, Benjamin Mora memberikan peluang kepada pemain simpanan untuk beraksi.

Emirates terlebih dahulu unggul pada separuh masa pertama dimana mereka menjaringkan dua gol masing-masing menerusi gol sendiri Syazwan Andik pada minit ke-39 serta percubaan daripada Saeed Salem pada minit ke-44.

Memasuki separuh masa kedua, Emirates menjaringkan gol ketiga menerusi Tommy Tobar pada minit ke-58. JDT akhirnya memperoleh gol yang dinanti menerusi jaringan Syafiq Ahmad dan Amirul Husaini.

Dalam jelajah pra musim mereka di UAE, skuad Harimau Selatan berjaya mengutip dua kemenangan dan dua kekalahan.

Kelab yang dimiliki oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu membuat persiapan rapi kerana mereka bakal beraksi di pentas AFC Champions League (ACL) 2020.